am@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merakam keterangan 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah berhubung kes rasuah perolehan projek mineral di negeri berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini sedang melengkap kertas siasatan kes itu sebelum akhir bulan ini seperti diarahkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Siasatan berkaitan kes terbabit sudah selesai dan kami sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.
“Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan pegawai penyiasat supaya melengkapkan beberapa keterangan yang perlu disiapkan sebelum akhir bulan ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menerusi Op Dun, Azam berkata, kertas siasatan pertama dibuka membabitkan pemberi maklumat dan bekas pegawai kerajaan negeri berkenaan, berkaitan Jabatan Mineral.
Katanya, bagi kes dua individu terbabit, siasatan sudah selesai dengan kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“SPRM dan polis turut bertukar maklumat berhubung kes terbabit, difahamkan polis juga sudah menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Jadi terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk koordinasi sekiranya ada apa-apa keputusan untuk dituduh (di mahkamah) atau sebaliknya,” katanya.
Kertas siasatan kedua pula membabitkan lapan rakaman video hasil pendedahan sebuah portal berita dalam talian.
“Sehingga sekarang SPRM hanya siasat berdasarkan kepada video yang dikeluarkan dalam portal berkenaan tapi kami tidak dikongsi atau dibekal oleh pihak berkaitan atau pemberi maklumat berkenaan mengenai rakaman berkenaan.
“Jadi kita rakam percakapan dari Adun dan pihak lain termasuk pemberi maklumat untuk dilengkapkan keterangan,” katanya.
Justeru, beliau memohon kerjasama semua pihak supaya memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd