hafidzul@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Polis memerlukan laporan forensik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melengkapkan siasatan berhubung kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama berkaitan isu ham oleh dua individu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan berkenaan ‘mengambil masa’ kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan kerjasama daripada pihak lain.
“Kita memerlukan laporan forensik daripada SKMM sebab itu ia (siasatan) ambil sedikit masa.
“Kita akan lengkapkan siasatan dan akan rujuk pada Pejabat Peguam Negara (AGC), Khamis ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas ketika ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak yang mempersoalkan siasatan terhadap Harith Iskander dan Cecelia Yap Song mengambil masa lama berbanding kes ugutan jenayah terhadap pelawak terbabit.
Sebelum ini, polis merekod keterangan Harith pada 22 Januari lalu manakala Cecelia pada 27 Januari berkaitan isu ham didakwa menyentuh sensitiviti agama.
Pada 21 Januari lalu, Harith, 54, didakwa memuat naik hantaran dengan memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ham sap kopi berharga RM5.50.
Hantaran berkenaan didakwa membuka ruang mempersendakan agama Islam apabila seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Cecelia Yap meninggalkan komen pada hantaran itu yang dipercayai mengaitkan ‘ham’ dengan nama Nabi Muhammad SAW.
© New Straits Times Press (M) Bhd