hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang Jaya: Siasatan di kawasan insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini, belum dapat dimulakan lagi kerana masih dalam fasa menstabilkan ‘ground zero’ (lokasi kejadian) berkenaan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kawasan berkenaan sangat tidak stabil akibat letupan dan kini ditakungi air akibat hujan.
Menurutnya, empat fasa pelan tindakan teknikal dilakukan bagi pemulihan berkenaan iaitu membabitkan fasa pertama membabitkan pengaliran sementara longkang monsun yang merentasi paip gas Petronas yang selesai pada hari ini.
“Ia juga membabitkan kerja ‘heat mapping’ (100-650 celcius) merangkumi kawasan seluas 300 meter radius.
“Fasa kedua ialah memastikan keselamatan dan kestabilan tanah, menstabilkan keadaan tanah sebelum kerja pengorekan untuk ‘exposed’ saluran paip gas dan pencarian keterangan fizikal dapat dilakukan.
“Ia turut membabitkan pengimbasan tanah, penggredan tanah dan pemasangan ‘sheet pile’ (pada) 7 April hingga 15 April ini.
“Fasa ketiga ialah memudahcara proses siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan polis untuk mengenalpasti punca kejadian,” katanya.
Katanya, fasa keempat pula ialah memudah cara proses pemeriksaan, pembaikan dan penyambungan semula bekalan paip gas yang terkesan oleh Petronas.
© New Straits Times Press (M) Bhd