Siasat warga asing terima dana mikro kredit AIM – Madius

Siasat warga asing terima dana mikro kredit AIM – Madius

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta  menyiasat salah guna kuasa yang membenarkan warganegara asing menerima pemberian mikro kredit Yayasan Amanah Ikhtiar (AIM) sekitar tahun 2013.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, perbuatan tersebut perlu disiasat kerana memberi impak kepada kepada peminjam atau Sahabat Usahawan dalam kalangan warga tempatan di negeri itu.

“Saya difahamkan, hanya kerana mereka miskin maka mereka telah diberikan kemudahan mikro kredit walaupun bukan warganegara,” dakwanya dalam perbahasan di Persidangan Dewan Rakyat di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, insiden pencerobohan Tanduo pada Mac 2013 telah mencemarkan integriti AIM dan pengurusan Mikro Kredit ditarik ke Putrajaya.

Dalam kejadian itu, penduduk asing di sana telah lari bertempiaran meninggalkan hutang-hutang tertunggak, sekali gus  mencemarkan intergriti AIM di negeri Sabah dan menyebabkan pengurusan mikro kredit di Sabah pada masa kini ditarik ke Putrajaya.

“Sedangkan itu bukan masalah Sabah tetapi lebih kepada masalah salah guna kuasa,” katanya.

Dalam menjawab kebimbangan beliau,  Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick memaklumkan pihaknya mengambil serius berhubung perkara tersebut dan akan menjalankan siasatan yang sewajarnya.

“Pada asasnya pembiayaan agensi kerajaan Malaysia ini tidak boleh diberikan kepada golongan bukan warganegara.

“Tetapi saya dimaklumkan selepas tahun 2013, sudah tidak ada permohonan baru yang diterima AIM yang melibatkan bukan warganegara ini.

“Pihak KUSKOP akan membuat siasatan, dan hasil siasatan itu nanti akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top