Meskipun namanya kurang dikenali oleh segelintir masyarakat, namun siapa sangka cucu kepada pelakon versatile, Fauziah Nawi dan anak kepada pelakon Farah Ahmad ini memiliki bakat lakonan yang hebat.
Walaupun ada yang berpandangan skeptikal terhadap kehadirannya, Mhia Firdaus bagaimanapun sudah lali jika masih ada yang menganggap keputusannya untuk terlibat dalam industri seni disebabkan mempunyai ‘cable’ besar.
“Yang tu memang common, tapi saya tidak minta untuk dilahirkan dalam keluarga yang sudah ada dalam industri. Tapi saya tak marah orang nak fikir macam ni, saya tak boleh nak nafikan saya ada pengaruh besar dalam bidang ni. Kadang kala dapat peluang yang lebih, tapi saya tak gunakan perkara itu dengan cara yang salah,” ulasnya.
Berkongsi lanjut, Mhia atau nama penuhnya Mhia Farhana Mohamad Firdaus, 19, berkata, sekiranya dia menerima apa sahaja tawaran, dia juga akan melalui proses sama seperti pelakon yang lain.
Malah, tidak mahu orang terus membicarakan perkara sama, Mhia yang kini mengambil jurusan diploma dalam bidang teater di Univeristi Teknologi Malaysia (UITM) ini mengaku, apa yang dimilikinya kini adalah hasil usahanya sendiri.
“Kalau saya ada terima tawaran, saya akan melaluinya sama seperti orang lain iaitu dengan menjalani ‘casting’. Bukan terus terima. Saya tak guna cable.
“Saya akan buat betul-betul, bukan ‘asal boleh’. Bila saya dapat sesuatu watak itu, saya akan belajar.
“Sekarang pun saya ambil diploma dalam teater di UITM sebab tak nak orang bercakap mengenai isu ini. Jadi memang betul saya sendiri yang belajar.
“Siapa yang boleh pilih nak keluarga mana kan? Apa yang saya capai sekarang ni memang hasil usaha saya sendiri. Maybe, saya ada darah seni mengalir dalam badan, tapi kalau bakat tu tak diasah, tak perbaiki, jadi bakat itu tiada makna. Semuanya datang dari diri sendiri,” katanya.
Mhia berkongsi perkara itu ketika ditemui XTRA pada sesi penggambaran kempen drama sempena Ramadan Raya yang berlangsung di Sri Pentas baru-baru ini.
Mahu ubah toksik dalam industri
Tambahnya lagi, kehadirannya dalam industri bukan hanya mahu menunjukkan bakat, tetapi untuk mengubah dan memperbaiki perkara toksik yang wujud.
Jelasnya, sebagai pelakon baharu dia mahu menunjukkan contoh yang baik kepada artis baharu yang lain iaitu dengan menunjukkan sikap positif dan etika yang baik, kerana pada akhirnya ia akan memberi kesan untuk jangka masa panjang.
“Saya tak kata industri seni saja ada sisi buruk, semua ada dan tak mudah untuk kita terus tukar.
“Saya baru masuk dalam industri jadi kena tunjuk contoh yang baik juga kepada pendatang baharu yang lain, kalau kita tunjuk sikap positif, baik, nanti yang lain pun akan ikut.
“Jadi pada akhirnya nanti tiada isu seperti masalah sikap tak bagus timbul. Bagi saya terutamanya untuk pendatang baru, apapun kita buat akan tetap memberi kesan pada masa depan.
“Ada setengah masalah dalam industri benda tu dah lama, saya tak kata tiada progress tapi biasanya masalah tu timbul daripada cara kita bawa diri, etika. Benda ni tak perlu diajar sebab setiap orang ada common sense, diajar oleh ibu bapa untuk jadi manusia,” jelasnya.