Shuib Kini Berhutang Puluhan Juta Ringgit – “Banyak Perkara Perlu Diperbaiki”

Shuib Kini Berhutang Puluhan Juta Ringgit – “Banyak Perkara Perlu Diperbaiki”

Pelawak terkenal dan usahawan, Shuib mengaku sedang berdepan hutang bernilai puluhan juta ringgit dalam perniagaannya.

Kata Shuib,  semua hutang tersebut adalah berkaitan perniagaan dengan pihak kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dan cukai.

“Itulah risiko dan ujian dalam dunia perniagaan. Kalau berniaga secara kecil-kecilan, tidak terlalu membebankan. Namun, apabila perniagaan berkembang, cabaran pasti ada.

“Apabila jualan mencecah puluhan ribu ringgit, kita merasa besar. Kemudian, mencapai ratusan ribu ringgit, kini sudah mencapai jutaan ringgit, jadi risikonya juga besar. Tidak ada perniagaan bernilai jutaan ringgit yang tiada risikonya. Seperti kata orang, besar periuk besar keraknya,” katanya kepada pemberita.

Namun begitu, Shuib mendakwa perniagaannya masih berada dalam keadaan yang baik.

Namun, apa yang perlu dilakukannya sebagai seorang ahli perniagaan adalah, mengurus dan merancang dengan lebih bijak pada masa akan datang.

“Jika tersalah urus atau rancang, memang akan berhadapan dengan risiko, tetapi saya okay sahaja. Ini perkara biasa bagi seorang usahawan. Untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan bernilai jutaan ringgit, itu normal.

“Saya tidak akan berhenti, saya yakin. Saya pegang satu prinsip, selagi kita tidak berhenti, kita belum gagal.

“Banyak perkara yang perlu diperbaiki. Saya sebenarnya tidak pandai dan hanya budak kampung. Namun Allah memberi rezeki, saya anggap ia satu anugerah.

“Sama ada tahu atau tidak, yang penting kita berusaha untuk mengetahui,” ulasnya.

 

Selain itu, Shuib juga terharu dengan niat rakan baiknya, Mamat yang mahu mendoakan kelancaran dan kemudahan buat sahabatnya iti yang sedang berdepan dengan pelbagai ujian termasuk hutang yang mencecah puluhan juta ringgit.

“Itulah erti persahabatan, sentiasa ada bersama dalam susah dan senang. Dalam waktu sukar, dia sudi mendoakan saya. Saya tidak pernah terfikir Mamat mahu berdoa untuk saya di Makkah.

“Mamat adalah sahabat paling rapat dengan saya. Dia banyak tahu tentang keadaan saya.

“Saya sangat bersyukur Mamat peduli dan tergerak untuk mendoakan saya di Tanah Suci. Doa seorang sahabat itu, Allah pasti akan mendengar dan mengabulkannya,” jelasnya.

 

Sumber: Harian Metro

Scroll to Top