Pelawak dan usahawan terkenal, Shuib akui bisnes terkesan akibat dikecam dan menerima tohmahan daripada orang ramai susulan berdepan dakwaan gagal membayar cukai berjumlah RM1.6 juta.
Pun begitu, ia tidak sesekali mematahkan semangat Shuib untuk terus mengembangkan lagi perniagaan Bubblee ke luar negara.
Ketika ditemu bual Majoriti, Shuib berkata dia akan mengembangkan perniagaan ke Borneo, Sabah dan Sarawak.
“Sudah tentu ada terkesan dengan apa yang berlaku, orang kita ni suka nilai daripada apa yang dia nampak, tapi tak tahu apa yang berlaku sebenarnya.
“Insya-ALLAH kita akan kembangkan perniagaan ke Borneo, Sabah dan Sarawak. Pada pertengahan bulan Januari lepas, kita dah buka francais pertama kita di Miri, itu perkembangan yang baik untuk Bubblebee,”katanya.
Shuib akui bisnes terkesan
Katanya lagi, dia juga sedang merancang untuk membawa Bubblebee ke Brunei, Singapura, Mekah dan Madinah.
“Insya-ALLAH. Jadi berbalik kepada tohmahan orang ramai, lebih baik sokong produk kita,” katanya selain meminta agar semua pihak berhenti melemparkan kecaman terhadap keluarganya dan bisnes.
Ujar pemilik nama Shahmira Muhamad, kecaman daripada warganet itu sedikit sebanyak menjejaskan periuk nasi beberapa staf yang bernaung di bawah syarikatnya itu jika Bubblebee berterusan dibenci.
“Ini masanya anda kena sokong, hentikan tohmahan yang tak berasas yang bukan mendatangkan kebaikan kepada saya dan Bubblebee.
“Dulu kita pernah ada sehingga 700 staf tapi sekarang dalam 100 sahaja, maksudnya ada dalam ratusan staf cari makan di bawah syarikat ini, jadi kalau masih lagi difitnah macam mana pula dengan nasib mereka,” tambahnya.
Artikel lain: Sekali lagi! Shuib, Bubblebee didakwa gagal bayar cukai, penalti RM1.6 juta
Menurut laporan, kes perbicaraan itu bersambung ke 13 Januari tahun depan dengan mahkamah memerintahkan serahan dokumen semula kepada pihak pendakwaan.
Peguamnya, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin turut menyatakan pihaknya akan terus mengemukakan bukti lanjut berhubung dakwaan berkenaan.
Sumber: Majoriti (Rizal Zainal)