Shila Amzah jelajah enam lokasi, termasuk Indonesia untuk siri konsert

Shila Amzah jelajah enam lokasi, termasuk Indonesia untuk siri konsert

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shila Amzah gembira apabila mendapat kepercayaan untuk beraksi dalam siri konsert berskala besar sepanjang 2023.

Shila yang ditemui ketika sidang media konsert Journey To The Future, petang tadi memaklumkan, dia yakin siri konsert tersebut akan memberi impak yang besar terhadap kerjayanya sebagai penyanyi.

“Saya mahukan tema yang memberi impak kepada kerjaya saya, tahun ini.

“Istimewanya, kali ini saya berpeluang untuk mengadakan konsert di enam lokasi, termasuk Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Singapura dan dua konsert di Indonesia. Itu hanya fasa pertama kerana selepas itu, kami akan meneruskan dengan rangkaian konsert untuk fasa kedua dan ketiga.

“Saya rasa bertuah kerana bukan semua penyanyi mendapat peluang seperti ini,” katanya.

Siri konsert istimewa itu bakal berlangsung selama dua jam dan menampilkan 40 lagu, termasuk medley.

Ujar Shila, konsert tersebut juga akan dibahagikan kepada lima segmen dan mempersembahkan lagu yang pernah dinyanyikan sepanjang kariernya.

Disoal tentang tema Journey To The Future, jelas ibu satu anak ini, ia diilhamkan daripada pengalaman hidupnya yang melalui pelbagai fasa dan kesukaran.

“Saya memikirkan tentang apa yang menjadikan siapa saya pada hari ini. Tentunya pengalaman masa lalu dan fasa gelap yang pernah saya tempuhi.

“Lagu-lagu yang akan saya sampaikan berkait rapat dengan transisi sehingga ke hari ini. Fasa sekarang adalah yang terbaik dan saya harap ia berkekalan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shila juga gembira kerana berpeluang membawa anaknya, Seth Uwais bersama ketika siri jelajah konsert itu nanti.

“Saya dibenarkan membawa anak bersama sepanjang konsert ini. Tentunya saya gembira kerana sebagai ibu tunggal, saya kena ambil peduli tentang dia.

“Seth juga akan menjadi pembakar semangat saya nanti,” jelasnya.

Scroll to Top