Shelton gah ke separuh akhir Terbuka Munich

Shelton gah ke separuh akhir Terbuka Munich

Munich: Bintang muda Amerika Syarikat, Ben Shelton meneruskan kemaraan cemerlang di Terbuka Munich apabila mara ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Itali, Luciano Darderi 6-4, 6-3 dalam tempoh sejam 14 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Shelton yang kini menghuni ranking ke-15 dunia bakal berdepan pilihan keempat dari Argentina, Francisco Cerundolo di pentas separuh akhir.

Ia juga adalah kali kedua pemain berusia 22 tahun itu berjaya melangkah ke separuh akhir musim ini, selepas penampilan hebatnya di Terbuka Australia, Januari lalu sebelum tewas kepada juara kejohanan, Jannik Sinner.

Sebaik tamat aksi di gelanggang tanah liat Munich, Shelton terus mencari kelibat bapanya yang juga jurulatihnya, Bryan Shelton, sebelum melaungkan dengan penuh semangat menerusi mikrofon:”We’re back, big dog!”

Shelton turut menyifatkan permainannya kini berada di tahap lebih baik, berbanding dua tahun lalu.

“Saya rasa lebih selesa dengan pergerakan, ketika meluncur, menyelamatkan bola pendek dan ketika bertahan mahupun menyerang.

“Dulu saya ibarat rusa di atas ais, tapi sekarang saya sudah berubah. Saya masih belum jadi pemain yang saya impikan, tapi saya sedang menuju ke arah itu.”

Cerundolo juga tidak berdepan banyak masalah untuk menempah slot separuh akhir apabila menundukkan pemain Belgium, David Goffin 6-2, 6-4 dalam sejam 15 minit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top