georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyampai radio, Sharifah Shahirah, 51, tetap berbangga dengan pencapaian anak perempuannya, Airra Zulkifli, 18, yang mendapat satu A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
Shahirah yang mesra disapa Shiera berkata, dia menganggap ia satu kemenangan apabila anaknya lulus semua subjek walaupun cuma mendapat A dalam Bahasa Inggeris.
“Satu A tanda memperoleh kemenangan! Baik semua lulus. B Sejarah, Kimia pula dapat E, kenapalah Airra ambil Kimia tak ambil Lukisan? Dia minat melukis,” katanya.
Shiera berkongsi perkara itu menerusi hantaran di TikTok Sinar FM.
Dia juga hadir sendiri ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Hulu Klang, di sini, untuk mengambil keputusan peperiksaan puteri kesayangannya itu.
Bagaimanapun, Airra tidak ikut sama dan Shiera memaklumkan anaknya itu dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke Langkawi, Kedah.
Shiera berkata, Airra sudah mengetahui keputusan itu selepas membuat semakan secara dalam talian.
“Saya datang ke sekolah anak saya nak ambil keputusan SPM. Tapi anak saya tiada, dia hendak naik kapal terbang pergi Langkawi.
“Jadi, sekarang dia dalam perjalanan ke lapangan terbang sebab sudah beli tiket lebih awal dan dia tidak tahu keputusan SPM keluar hari ini.
“Dia sudah tengok keputusan dalam talian tapi tidak mengapa saya datang untuk semak sendiri di sekolah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd