Setiausaha Bahagian badan berkanun bergelar Datuk antara tiga individu ditahan SPRM

Setiausaha Bahagian badan berkanun bergelar Datuk antara tiga individu ditahan SPRM

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan berjumlah kira-kira RM400,000.

Ketiga-tiga suspek berusia 30-an hingga 50-an terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya, malam semalam.

Sumber berkata, salah seorang suspek ditahan itu adalah setiausaha bahagian bergelar datuk yang bertanggungjawab mengawal selia sebuah agensi badan berkanun kerajaan.

Menurutnya, dua yang lain adalah pegawai khas dan pemandunya.

“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan terbabit baru-baru ini dengan mengemukakan kertas cadangan program untuk kelulusan peruntukan dan kemudiannya disalurkan kepada sebuah agensi kerajaan berkaitan.

“Suspek turut disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan berkenaan dan mengeluarkan wang peruntukan itu secara tunai yang bernilai ratusan ribu ringgit namun disyaki digunakan untuk keperluan peribadi,” katanya.

Datuk bersama seorang lagi suspek masing-masing direman dua hari dan empat hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top