Setiausaha Agung PBB gesa tamatkan penderitaan rakyat Sudan menjelang Ramadan

Setiausaha Agung PBB gesa tamatkan penderitaan rakyat Sudan menjelang Ramadan
Setiausaha Agung PBB gesa tamatkan penderitaan rakyat Sudan menjelang Ramadan

Penderitaan rakyat Sudan semakin meruncing perlu dihentikan menjelang bulan suci Ramadan yang bakal bermula dalam tempoh dua minggu.

ISTANBUL – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Jumaat menggesa agar penderitaan rakyat Sudan yang semakin meruncing dihentikan menjelang bulan suci Ramadan yang bakal bermula dalam tempoh dua minggu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Orang awam, termasuk pekerja kemanusiaan, mesti dilindungi. Akses kemanusiaan yang pantas, selamat, tanpa halangan dan berterusan mesti dipermudahkan di semua kawasan yang memerlukan,” kata Guterres pada persidangan kemanusiaan peringkat tinggi mengenai Sudan di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa.

“Sokongan luaran dan aliran senjata mesti ditamatkan. Aliran ini membolehkan kesinambungan kemusnahan dan pertumpahan darah orang awam yang luar biasa,” katanya.

Guterres berkata, Ramadan semakin hampir dan menegaskan, “Pada bulan yang penuh keberkatan untuk keamanan, belas kasihan, pemberian dan solidariti ini, saya menggesa anda semua untuk menggunakan pengaruh besar anda untuk kebaikan.”

Beliau berkata, PBB, bersama rakan kongsi nasional dan antarabangsa juga akan melancarkan Pelan Keperluan dan Tindak Balas Kemanusiaan Sudan 2025 dan Pelan Tindak Balas Pelarian Sudan 2025.

“Kesemua rancangan ini memerlukan AS$6 bilion, untuk menyokong hampir 21 juta orang di Sudan dan sehingga 5 juta yang lain — terutamanya pelarian — di negara jiran, krisis kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di benua Afrika,” katanya.

“Kita mesti melakukan lebih banyak lagi dan melakukannya sekarang untuk membantu rakyat Sudan keluar daripada mimpi ngeri ini.” – Bernama/Anadolu

Scroll to Top