am@hmetro.com.my
Seremban: Keadaan tiga beranak yang tinggal bergelap sejak setahun lalu di sebuah PPR di Senawang akibat bekalan elektrik di rumah mereka dipotong mendapat perhatian Tenaga Nasional Berhad (TNB).
TNB dalam kenyataannya memberitahu bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai situasi sebuah keluarga di PPR Bersepadu Senawang yang menghadapi pemotongan bekalan elektrik akibat tunggakan bil.
“Kami memahami kebimbangan orang ramai dan bersimpati dengan situasi yang dihadapi keluarga itu.
“Sebagai langkah penyelesaian, TNB menghubungi pihak berkenaan dan bertemu dengan pelanggan berkenaan.
“Melalui perbincangan, TNB menawarkan cadangan penyelesaian bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga itu,” katanya.
Terdahulu, Norazlina Bakri, 42, ketika ditemui berkata dia berpindah ke PPR berkenaan pada 2019 dan mendakwa selepas kira-kira tiga bulan, bil elektrik di rumahnya melambung sehingga mencecah RM700 sebulan.
“Saya kemudiannya membuat aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan mereka memaklumkan berlaku kebocoran.
“Kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri tahun lalu, elektrik rumah dipotong sehingga ke hari ini,” katanya yang kini tinggal di rumah itu bersama dua lagi anaknya.
Memburukkan lagi keadaan, suami yang tempatnya bergantung terbabit dalam kemalangan dan patah kaki enam bulan.
“Sebelum ini suami bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,600 sebulan. Pada mulanya bil elektrik melambung naik memang kami tidak mampu bayar.
“Pada masa itu saya anggap ada kesilapan pada meter seperti dimaklumkan TNB, jadi kami biarkan sehinggalah bekalan dipotong. Kini bekalan air juga dipotong,” katanya.
Ibu kepada anak berusia empat, lapan, 10 dan 17 tahun itu berkata, dia kini hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.
“Saya tidak dapat bekerja sekarang kerana motosikal digunakan suami terbabit kemalangan mengalami kerosakan teruk.
“Kereta yang dihantar ke bengkel juga ditarik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kerana pihak bengkel parkir di kawasan tidak dibenarkan. Namun, sesekali ada rakan panggil untuk bantu mereka sediakan makanan untuk katering,” katanya.
Jelasnya lagi, dia kini tidak kuat lagi selepas dugaan datang bertimpa-timpa dan masih menjalani kehidupan demi anak-anak.
Sementara itu, Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) Zulkifli Muhamed berkata, dia sudah menyemak dengan TNB dan mendapati bil tertunggak di rumah wanita berkenaan adalah sebanyak RM17,000.
“PCRS cuba untuk membantu keluarga ini membayar tunggakan, namun ia diluar kemampuan persatuan kerana jumlahnya agak besar. Bil air juga tertunggak sebanyak lebih RM400 dan dia juga mempunyai denda kira-kira RM1,000.
Orang ramai yang ingin membantu juga boleh menyumbang ke akaun Maybank Norazlina 1551 2719 8492.
© New Straits Times Press (M) Bhd