Sesi baru persekolahan 2025 lusa, ibu bapa yang 'panik'

Sesi baru persekolahan 2025 lusa, ibu bapa yang 'panik'

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sesi persekolahan 2025 bakal membuka tirai Isnin ini menyaksikan ibu bapa berpusu-pusu melakukan persiapan akhir keperluan anak-anak masing-masing.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa kedai pakaian sekolah, kedai gunting rambut dan kedai alat tulis sekitar ibu kota mendapati suasana sibuk dengan ibu bapa dan anak-anak membeli keperluan sekolah masing-masing.

Kakitangan swasta, Siti Mariam Abdullah, 38, berkata dia mengambil kesempatan hujung minggu terakhir sebelum sesi persekolahan bermula untuk melengkapkan persiapan anaknya yang akan memasuki Tahun Lima.

“Baju sekolah anak saya cepat kecil, jadi saya kena beli yang baru setiap tahun. Harga pun semakin mahal, jadi saya kena pilih kedai yang tawarkan harga berpatutan.

“Namun, mana pakaian yang masih elok, saya akan gunakan semula untuk anak-anak,” katanya kepada Harian Metro tadi.

Selain membeli pakaian sekolah, ibu bapa juga tidak ketinggalan membawa anak-anak mereka memotong rambut ada saat akhir supaya kelihatan kemas apabila sesi persekolahan bermula.

Pemilik kedai gunting rambut The Jollylight Barber Shop, Leeveethran Sathis Kumar berkata, jumlah pelanggannya meningkat dua kali ganda sejak awal minggu ini.

Katanya, kebanyakan pelanggan adalah pelajar yang mahu kemaskan rambut sebelum sekolah dibuka.

“Selalunya, apabila musim buka sekolah memang ramai ibu bapa yang akan membawa anak mereka memotong rambut lagi-lagi mereka yang bersekolah rendah.

“Ada yang datang sekeluarga, jadi kedai memang sentiasa dikunjungi pada minggu akhir cuti sekolah ini,” katanya yang hanya mengenakan caj RM10 untuk pelajar,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Suriani Marhamdi, 32 berkata, dia memilih memotong rambut anak-anaknya pada saat akhir berikutan rambut kanak-kanak yang cepat tumbuh panjang.

“Rambut anak-anak saya jenis yang cepat tumbuh, jadi untuk pastikan mereka nampak kemas, lebih baik saya potong sebelum masuk sekolah.

“Saya juga memang sudah asingkan duit untuk potong rambut, selepas membeli baju seragam sekolah dan alat tulis, manakala beg sekolah masih elok dan boleh digunakan semula,” katanya.

Suriani berkata, persiapan anak-anak memang diuruskan olehnya kerana mahu memastikan mereka memulakan sesi persekolahan dengan penuh keyakinan dan semangat.

Bagi 2025, pelajar sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di seluruh Malaysia akan memulakan sesi persekolahan baharu selepas cuti akhir persekolahan 2024/2025.

Semua sekolah di seluruh negeri dibuka pada 16 dan 17 Februari 2025 Kumpulan A dan B bagi sesi baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top