lizamridzuan@hmetro.com.my
BERMULA dengan perjalanan ke London dan Russia, Mohd Alfishahrin Zakaria, 38, bersama isteri, Diana Latief,37, terus menjadi inspirasi buat peminat dunia dua roda melakukan pengembaraan ke luar negara.
Mereka berdua hanya mengguna motosikal cub Honda RS150 dan RSX yang memecah benteng minda bahawa apa juga motosikal boleh ‘sampai’, yang penting ada semangat dan keyakinan mengharungi cabaran.
Selepas berjaya melaksanakan dua misi itu dan banyak lagi yang lain, mereka menganjurkan acara Mega Gathering Honda RS & RSX 6.0.
Acara penganjuran sejak 2017 itu bertujuan mengeratkan hubungan dalam komuniti motosikal serta memupuk amalan menunggang selamat dan pematuhan undang-undang jalan raya.
Tahun lalu acara ini diadakan di Terengganu dihadiri lebih 3,000 peserta dan lokasi lain yang pernah dilakukan sebelum ini ialah di Shah Alam, Selangor.
Pada tahun ini menyaksikan lebih 5,000 pemilik Honda RS dan RSX datang dari seluruh negara dan berhimpun di Tempat Letak Kereta B, Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Aktiviti yang dijalankan seperti pertandingan ‘motorshow’, pertandingan motosikal paling perlahan, cabutan bertuah serta sesi perkongsian pengalaman mengembara dengan motosikal.
Buat pertama kalinya penyertaan Allianz Explorer Truck yang dikendalikan bersama agensi MyBikerZ Resources menambah kemeriahan pada acara kali ini.
Mega Gathering Honda RS & RSX 6.0 kali ini mendapat sokongan daripada Boon Siew Honda, Yuzy Estremo Club dan Petronas Sprinta.
Pengembaraan Mohd Alfishahrin dan isteri memperlihatkan semangat juang serta cinta mereka terhadap dunia kembara bermotor, yang menginspirasi ramai untuk meneroka dunia walaupun dengan sumber terhad.
Honda RS-X dilancarkan di Malaysia pada 2021 dijana dengan enjin 149.16 cc PGM-Fi sejukan cecair dengan transmisi enam kelajuan menjana 15.8 kuasa kuda dan tork 13.6Nm.
Untuk Honda RS150R pula dilancarkan pada 2016 dengan enjin sejukan cecair, 4-lejang, 4-injap Silinder Tunggal, PGM-Fi, DOHC, Klac manual 6-kelajuan dengan kuasa 15.42 kuasa kuda dan tork 13.6 Nm.
© New Straits Times Press (M) Bhd