Serangan ke atas Gaza: Anwar sifatkan sistem pertahanan dunia rosak

Serangan ke atas Gaza: Anwar sifatkan sistem pertahanan dunia rosak

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sistem pertahanan dunia telah rosak apabila mengizinkan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza terus berlaku.

Dalam serangan terbaharu hari ini, lebih 330 nyawa dilaporkan terkorban termasuk petugas misi kemanusiaan.

“Sebenarnya, kita (Malaysia) tidak setuju (dengan tindakan Israel), bunyinya (gencatan senjata) iaitu menghentikan serangan ganas terhadap rakyat termasuk wanita dan kanak-kanak khasnya (tetapi sebaliknya).

“Usaha (perdamaian) daripada daripada rakyat (Palestin) itu ada tetapi pembunuhan (tetap lagi) berterusan.

“Ini maknanya sistem pertahanan dunia sudah rosak (apabila) keganasan itu diizinkan. Sekarang ada usaha perdamaian tetapi pembunuhan (tetap) berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian Malaysia terhadap serangan terbaharu Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Anwar ditemui pada Majlis Berbuka Puasa MADANI anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman terbabit dan bersedia memberikan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.

“Kita akan berikan bantuan yang kita mampu dari aspek kebajikan dan kemanusiaan, tapi apa yang sangat kita kesalkan (serangan) berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.

“Tidak ada langsung perikemanusiaan, jadi kita doa mudah-mudahan Allah SWT melindungi keluarga mangsa dan mencucuri rahmat ke atas syuhada,” katanya.

Terdahulu, pihak berkuasa Gaza melaporkan bahawa lebih 330 rakyat Palestin terbunuh atau hilang dalam tempoh lima jam selepas Israel kembali melancarkan serangan di seluruh Semenanjung Gaza.

Serangan berlaku dalam keadaan sekatan masih dikenakan ke atas Gaza menyebabkan lebih 2.4 juta penduduk terputus bekalan keperluan asas.

Tentera Israel mendakwa mereka menyasarkan serangan ke atas Hamas, manakala Hamas menuduh Israel memungkiri perjanjian gencatan senjata.

© New Straits Times Press (M) Bhd