Serangan jantung punca pemain badminton China meninggal dunia

Serangan jantung punca pemain badminton China meninggal dunia
Serangan jantung punca pemain badminton China meninggal dunia

Jakarta: Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) berkata, pemain China berusia 17 tahun Zhang Zhijie meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dia rebah semasa perlawanan Ahad lalu.

Zhijie sedang bertanding di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta apabila dia rebah di gelanggang.

Dia menerima rawatan perubatan di tempat kejadian dan kemudian dikejarkan ke hospital di Yogyakarta sebelum disahkan meninggal dunia, agensi berita negara Antara memetik jurucakap PBSI, Broto Happy.

“Kesimpulan pemeriksaan dan rawatan mangsa dari dua hospital menunjukkan keputusan yang sama, mangsa mengalami serangan jantung mengejut,” tambah Broto.

Menurut Broto, nadi Zhijie sudah terhenti apabila tiba di hospital pertama.

Dia dirawat selama kira-kira tiga jam sebelum dibawa ke hospital kedua, yang disahkan meninggal dunia pada 11:20 malam.

Jelas Broto, keluarga Zhijie akan datang ke Yogyakarta untuk menuntut mayatnya.

Persatuan Badminton China memberitahu China Newsweek yang disokong kerajaan bahawa mereka sedang berkomunikasi dengan pihak Indonesia mengenai kebimbangan sama ada Zhijie menerima rawatan perubatan tepat pada masanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd