Serangan Israel guna alat kelui tidak berperikemanusiaan

Serangan Israel guna alat kelui tidak berperikemanusiaan

PUCHONG: Malaysia melalui Kementerian Luar mengutuk serangan biadab yang dilakukan rejim Zionis menggunakan alat kelui atau pager untuk membuat letupan hingga meragut nyawa manusia yang tidak bersalah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sera­ngan tersebut merupakan tindakan paling tidak berperikemanusiaan.

Tegas beliau, kerajaan telah pun menyatakan bantahan ke­ras terhadap serangan yang me­ngorbankan orang awam itu.

“Kenyataan telah dikeluarkan oleh KLN mengutuk sera­ngan biadab daripada Israel menggu­nakan pager yang bermakna se­luruh rakyat (Lubnan) yang memakainya terkesan.

“Paling tidak berperikemanusiaan. Ia (mangsa) bukan pasukan tentera dan sebagai­nya, (tetapi) wanita, anak-anak. Jadi, kita telah bantah keras,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam, di sini semalam.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan beratus-ratus alat kelui yang digunakan oleh anggota Hizbullah di seluruh Lubnan meletup semalam, membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan kira-kira 2,800.

Sumber kanan keselamatan Lubnan dan sumber lain di­laporkan mendakwa agensi perisikan Israel, Mossad memasukkan sejumlah kecil bahan letupan di dalam 5,000 alat kelui buatan Taiwan yang dipesan oleh kumpulan Hizbullah Lubnan beberapa bulan sebelum kejadian letupan pada Selasa.

Sehubungan itu, Hizbullah dipercayai akan melakukan se­rangan balas terhadap Israel.

Sementara itu, berhubung kes anggota pengiring yang di­percayai memukul seorang pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU), Anwar menggesa semua pihak memberi laluan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mela­kukan siasatan dan tidak menjatuhkan hukuman mengikut khabar angin semata-mata.

Beliau berkata, kerajaan su­dah menyatakan pendirian te­gas dalam isu ini dan PDRM serta Peguam Negara perlu berpuas hati dalam siasatan yang dilakukan sebelum tindakan diambil.

“Saya tidak bersetuju satu hal. Prinsip negara ini (merupakan) negara hukum (itu) betul tetapi jangan hukum berdasarkan khabar angin atau persepsi.

“Kes ini siapa kata (ia) tutup? Ya, kadangkala proses me­ngambil masa tetapi ini men­jadi perhatian. Saya secara peribadi mengambil tahu (tentang) hal sedemikian sama ada kes melibatkan OKU atau biasa,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top