am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Polis Kelantan menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika bercuti ke Thailand dengan tidak mengunjungi lokasi yang berisiko.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ia berikutan beberapa siri serangan dan letupan bom berlaku dengan kejadian terbaharu di Narathiwat pada 14 Januari lalu yang mengorbankan dua beranak.
“Orang ramai sangat suka ke Thailand kerana menganggap seperti melancong dan sudah jadi tradisi.
“Tapi ketika di sana (Thailand), saya minta agar berhati-hati, banyak letupan (bom) berlaku dan kita tidak tahu bila serta di mana akan terjadi.
“Kejadian sebegini sudah berlaku dua kali (tahun ini) dan saya nasihatkan agar berwaspada malah jangan kunjungi tempat berisiko,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar mematuhi peraturan negara jiran agar tidak menimbulkan masalah yang boleh ‘menyusahkan’ kerajaan dua negara.
Media melaporkan dua mangsa yang juga anggota polis peronda maut dalam letupan bom di Jalan Si Sakhon, Narathiwat, pagi 14 Januari lalu.
Siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati kereta dinaiki kedua-dua anggota polis itu diserang dengan bom sebelum mereka ditembak dari jarak dekat malah suspek turut melarikan dua pistol milik mangsa.
Sebelum itu, seorang warga Malaysia dan enam anggota sukarelawan pertahanan cedera dalam satu insiden letupan bom berhampiran Balai Polis Daerah Mueang Pattani, Wilayah Pattani, selatan Thailand pada 12 Januari.
Insiden itu berlaku pada kira-kira 8 pagi selepas majlis perbarisan anggota polis di balai berkenaan dan siasatan awal mendapati bom terbabit dipercayai dipasang pada sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran balai polis.
Terdahulu, Mohd Yusoff hadir dalam himpunan bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan dan menyampaikan sijil penghargaan kepada 21 pegawai serta anggota.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, indeks jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan dengan sebanyak 156 kes dilaporkan sepanjang 1 hingga 31 Januari lalu berbanding 179 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.
“Bagaimanapun jenayah kekerasan meningkat sebanyak enam kes menjadikan 38 kes dalam tempoh sebulan lalu dan tiga kes utama mencatatkan peningkatan adalah cedera guna senjata, rogol serta samun berkawan/bersenjata.
“Bagaimanapun untuk jenayah harta benda, ia mencatatkan penurunan sebanyak 19.7 peratus iaitu daripada 147 kes (2024) kepada 118 sepanjang bulan lalu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd