Serang polis: Pihak tokong serah diri, mohon maaf – Utusan Digital

Serang polis: Pihak tokong serah diri, mohon maaf – Utusan Digital

PETALING JAYA: Susulan kekecohan di depan sebuah tokong di Bandar Salak Selatan, Jalan Sungai Besi dekat sini, pihak tokong menyerah diri serta mengemukakan surat permohonan maaf kepada polis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kekecohan yang berlaku pukul 11.45 pagi Selasa lalu itu selepas pihak Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) ingin membina pagar penghadang ‘Hoarding’ untuk membina jalan sebagai laluan ke sekolah.

Katanya, rusuhan bermula pada pukul 2.14 petang apabila wakil pihak tokong itu tidak berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan dengan PTG.

“Kumpulan ini terdiri lebih kurang 20 hingga 30 individu lelaki dan wanita yang berusia 18 hingga 84 tahun.

“Mereka bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak menggunakan kayu serta menyerang anggota polis yang bertugas ditempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Idzam berkata, polis kemudian meleraikan rusuhan itu pada pukul 2.30 petang selain menahan empat lelaki yang berusia 18 hingga 50 tahun.

Ujarnya, kira-kira pukul 8.30 malam pada Rabu lalu, polis menahan dua lagi lelaki berusia 38 dan 56 tahun sebelum mengepung kawasan tokong itu bagu membuat tangkapan pada 1.30 pagi semalam.

“Namun pihak tokong menyerah diri serta menyerahkan surat permohonan maaf kepada pihak polis.

“Susulan itu, polis menahan 12 lelaki dan enam wanita berusia 18 hingga 84 tahun iaitu semua yang terbabit dalam rusuhan itu,” ujarnya.

Tambahnya, dua suspek turut dibebaskan atas jaminan polis atas faktor usia.

“Permohonan reman ke atas 18 suspek lagi dibuat semalam di mana 10 suspek direman sehari bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan yang lengkap sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dengan cadangan pertuduhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya lagi, pertambahan pertuduhan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021 turut dicadangkan memandangkan kesemua suspek melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan iaitu berkumpul beramai-ramai di tempat awam.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan empat lelaki dalam kekecohan di depan sebuah tokong di Bandar Salak Selatan, Jalan Sungai Besi dekat sini.

Satu rakaman video berkaitan isu ini juga dimuat naik di laman Facebook bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.- UTUSAN ONLINE

Scroll to Top