JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dan seorang wanita warganegara Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah dengan lebih sembilan kilogram (kg), awal bulan ini.
Tertuduh, Lee Chen Khang, 29, dan Nguyen Thi My Tien, 24, menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Chen Khang dan Nguyen didakwa mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 9.2 kg di sebuah apartmen di Taman Johor Jaya, di sini pada pukul 7.10 malam, 4 Mac lalu.
Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2)(a) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai sebutan semula kes dan menunggu laporan kimia.
Dalam mahkamah berasingan, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin,
Chen Khang dan Nguyen mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara bersama-sama memiliki dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat kasar 74 gram di lokasi dan masa yang sama seperti pertuduhan pertama.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN