Hong Kong: Seorang lelaki di China terkejut menemukan bekas pemilik rumahnya yang secara senyap-senyap tinggal di ruang bawah tanah rumah dibelinya tujuh tahun lalu, lapor South China Morning Post memetik NetEase News.
Lelaki berkenaan, dikenali sebagai Li, berasal dari wilayah Jiangsu di timur China, membeli rumah di pusat bandar itu dengan harga hampir 2 juta yuan (RM1.2 juta) pada 2018.
Keluarga Li gembira dengan rumah baharu mereka yang memiliki kemudahan pengangkutan yang baik serta reka bentuk dalaman cantik.
Bagaimanapun, ketika mengemas barang-barang di rumah baru-baru ini, Li secara tidak sengaja menemukan sebuah pintu tersembunyi di sebalik tangga.
Pintu itu membawa ke sebuah ruang bawah tanah yang sebelum ini tidak disedarinya.
Ruang bawah tanah itu luas dan lengkap dengan sistem pengudaraan, pencahayaan, malah terdapat sebuah bar kecil.
Li menemukan tanda-tanda jelas bahawa seseorang tinggal di sana, menyebabkan dia berasa ‘meremang bulu roma’.
Dia segera menghubungi pemilik rumah sebelumnya, seorang wanita dikenali sebagai Zhang, dan menuduhnya sengaja menyembunyikan kewujudan ruang bawah tanah semasa penjualan rumah itu.
Zhang membalas, “Saya menjual rumah itu kepada anda, tetapi saya tidak pernah mengatakan ruang bawah tanah itu termasuk dalam jualan.”
Dia mendakwa ruang bawah tanah itu adalah tempat rekreasi peribadinya dan bukan sebahagian daripada hartanah yang disenaraikan atau perjanjian jual beli.
“Jika ruang bawah tanah itu milik anda, di mana saya sepatutnya berehat pada waktu lapang?” katanya.
Bagaimana wanita itu dapat masuk dan keluar dari ruang bawah tanah masih menjadi tanda tanya.
Li tetap bertegas bahawa selepas membayar harga penuh rumah itu, ruang bawah tanah itu sepatutnya menjadi miliknya secara sah, lalu dia membawa kes itu ke mahkamah.
Mahkamah memihak kepada Li, mengarahkan Zhang membayar pampasan kewangan serta mengesahkan hak milik Li ke atas ruang bawah tanah itu.
Kisah ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial tanah besar.
Seorang pengguna internet berkata: “Fikirannya sahaja sudah menakutkan. Bayangkan anda tinggal di atas sementara ada orang asing yang minum dan menonton televisyen di bawah.”
“Kejujuran adalah asas bagi setiap transaksi. Menyembunyikan butiran penting adalah satu pelanggaran hak pengguna,” kata seorang lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd