Sentuhan prestasi

Sentuhan prestasi

lizamridzuan@hmetro.com.my

TOYOTA Yaris adalah hatchback yang mula diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan sejak 2019 dengan beberapa pembaharuan dilakukan sejak itu.

Namun tahun lalu UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan model G Limited edisi khas yang dikeluarkan 600 unit sahaja.

Vroom berpeluang memandu uji model itu baru-baru ini untuk melihat apakah ciri perbezaan ditawarkan pada Yaris itu.

Melihat kepada rekaan luaran ia kekal sama dengan model Yaris standard varian E dan G namun diberi sentuhan kemasan aero kit berbeza.

Untuk model ini ia ditawarkan dengan warna putih dan merah seperti unit pandu uji ini dan didatangkan dengan ciri dwi-tona dengan bumbung hitam perbezaan paling ketara.

Untuk ruang kabin ia kekal dengan ciri seperti sistem infotainmen bersaiz 9 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto keterhubungan dan pengecas telefon tanpa wayar, perakam video hadapan dan post pengecas USB-A dan C.

Tempat duduk dengan fabrik berwarna hitam selesa namun lebih keras, roda stereng dengan pelbagai fungsi dan pedal gear serta panel meter MID 4.2 inci dengan grafik yang diperbaharui.

Namun perbezaan utama ditawarkan pada model Yaris G Limited ini ialah pada prestasi dan pengendalian yang ditambahbaik menerusi beberapa komponen menerusi casis ‘brace’ bagi kekukuhan dan kestabilan kenderaan terutama ketika melayan selekoh.

Ia terdiri daripada stabilizer bar, lower chasis brace, lower anti roll bar, rear chassis brace bagi tujuan itu.

Penulis dapat rasakan perbezaan itu dengan kurangnya olengan serta digabung dengan penyerap hentak berprestasi bagi ketepatan pada pengendalian.

Enjin Yaris ini kekal dengan 1.5 liter 2NR-FE naturally-aspirated Dual VVT-i 4-silinder selari yang menghasilkan 107 kuasa kuda (hp) dan tork 140Nm dengan transmisi CVT dengan mod 7-kelajuan Sport Sequential Shiftmatic.

Untuk prestasi model ini juga dilengkapi kawalan pendikit yang memperbaiki respon kuasa kuda (hp) selain

‘cold air intake’ yang membantu enjin menerima lebih banyak udara sejuk penuh dengan oksigen untuk pembakaran lebih efisien .

Ini menambah kepada pengalaman pemanduan lebih menarik kepada penulis terhadap model ini dengan penambahan beberapa komponen tersebut terutama dengan mod Sport menawarkan kepuasan tersendiri.

Mod pemanduan lain pada Yaris dengan Eco atau Normal bagi disesuaikan dengan pemanduan harian atau hujung minggu.

Meskipun dengan ciri prestasi ia dilengkapi sistem keselamatan Toyota Safety Sense merangkumi Brek Pra-Perlanggaran (PCB), Amaran Keluar Laluan (LDA), monitor paparan 3D panorama, Pemantauan Titik Buta (BSM) dengan Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), Kawalan Bantuan Permulaan Bukit (HAC) dan tujuh beg udara SRS.

Kesimpulannya Yaris G Limited ini bukan sekadar kereta dengan pembaharuan pada bodykit, tetapi didatangkan dengan elemen prestasi dan pengendalian lebih baik daripada Yaris standard.

Sesuai untuk golongan sasarnya yang berjiwa lebih muda, dan pakej prestasi ini gabungan ideal buat yang mahukan kenderaan harian yang praktikal.

Ia juga dengan ruang kargo 286 liter sehingga 768 liter sekiranya kerusi penumpang belakang dilipat bagi membawa lebih barangan jika diperlukan.

Penggunaan bahan api sekitar 17.8 kilometer (km) untuk setiap liter dengan tangki 42 liter bahan api penuh mampu menjangkau sehingga 470km bergantung kepada corak dan gaya pemanduan.

Untuk pasaran Malaysia ia dijual pada harga RM99,600 (atas jalan tanpa insurans), tambahan lebih RM8,000 daripada model standard G namun dengan penawaran pakej prestasi ia dilihat sesuai pada harganya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Recent Posts

Scroll to Top