Sentiasalah menasihati pemerintah

Sentiasalah menasihati pemerintah

– Advertisement –

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 91)

– Advertisement –

Diceritakan bahawa Sulaiman bin Abdul Malik, khalifah Umawi, tiba di Madinah untuk menziarahi. Beliau menjemput Abu Hazim.

Apabila Abu Hazim masuk, Sulaiman berkata: Bercakaplah wahai Abu Hazim!

Abu Hazim berkata: Ya! Aku bercakap wahai Amir al-Mukminin. Kamu jangan ambil sesuatu melainkan dari tempatnya. Engkau jangan letakkannya melainkan pada orang yang layak menerimanya.

Sulaiman bertanya: Siapa yang mampu buat demikian?

Abu Hazim menjawab: Orang yang dipimpin oleh Allah apabila menguruskan rakyatnya.

Sulaiman berkata: Nasihatkan aku wahai Abu Hazim.

Abu Hazim menjawab: Ketahuilah bahawa urusan ini (iaitu menjadi pemerintah) tidak sampai kepadamu melainkan dengan matinya orang sebelummu. Ia (Pemerintahan) akan keluar dari tanganmu sebagaimana ia sampai ke tanganmu.

Sulaiman berkata: Kenapa engkau tidak datang kepada kami?

Abu Hazim menjawab: Apa yang aku boleh buat jika aku datang kepadamu wahai Amir al-Mukminin? Jika engkau dekatkan aku kepadamu, engkau bunuh aku. Jika engkau berlaku kasar kepadaku, nescaya engkau membuatkan aku dukacita. Tidak ada apa-apa yang aku harapkan daripadamu. Tidak ada apa-apa di sisiku yang aku bimbangkan mengenainya darimu.

Sulaiman berkata: Sebutkan apa hajatmu.

Abu Hazim menjawab: Aku telah adukan hajatku kepada Tuhan yang Maha Kuasa lebih darimu untuk tunaikan hajat itu. Apa yang diberi kepadaku, aku terima. Apa yang tidak diberi kepadaku, aku reda. (Ar-Risalah al-Khalidah, Abdul Rahman Azzam ms 64)

Abu Hazim ialah Salamah bin Dinar al-Makhzumi. Digelar Al-A’raj. Beliau seorang alim di Madinah, qadi Madinah dan tokoh Madinah yang terkenal ketika itu. Beliau berasal dari Parsi. Seorang yang zuhud, kuat beribadat.

Ibn Aslam menyebut: Aku tidak melihat seorang yang sangat berhikmah dalam ucapannya lebih dari Abu Hazim.

Beliau meriwayatkan hadis dari sekumpulan para Sahabat seperti Ibn Umar, Sahl bin Masud dan Anas bin Malik. Dikatakan beliau sempat melihat Abu Hurairah. Beliau mendengar daripada pembesar tabiin seperti Said bin Musayyib dan lain-lain.

Beliau meninggal dunia di Baghdad tahun 140H ketika pemerintahan Bani Abbas.

Apabila dilihat jawapan-jawapan beliau kepada soalan yang dikemukan oleh Sulaiman, ia adalah jawapan yang sangat mantap, tegas, berprinsip, penuh hikmah sekalipun berdepan dengan seorang pembesar dan pemerintah negara.

Tiada rasa kerdil, takut, bimbang, cuba membodek dan lain-lain sifat mazmumah melalui jawapan Abu Hazim itu.

Sifat sebeginilah yang sepatutnya ada kepada orang yang mahu menasihati pemerintah, pembesar dan siapa sahaja.

Baginya, hanya Allah yang maha besar, yang maha memberikan manfaat dan mudarat.

Wahai pemerintah, pemimpin, pentadbir! Perhatikan kata-kata Abu Hazim itu, dan fahamilah baik-baik. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

– Advertisement –