PELIK dan menghairankan! Hampir 50,000 terbunuh, lebih 100,000 cedera. Bumi Gaza bagai padang jarak padang terkukur.
Namun warga Gaza sujud syukur dan bersorak gembira dengan gencatan senjata yang dimeterai sambil mendakwa, mereka menang, Israel kalah!
Bagi yang tidak meneliti angka dan perinciannya, mungkin tidak nampak kerugian besar yang dialami oleh Israel.
Berikut senarai beberapa kerugian di pihak Israel akibat peperangan ini:
1. Seramai 143,000 pendatang Yahudi yang tinggal di selatan dan utara Palestin terpaksa dipindahkan. Angka ini termasuklah 74,500 dari kawasan Ghilaf Gaza dan 68,500 orang di wilayah Selatan Lubnan.
2. Kementerian Kewangan Israel menganggarkan kerugian pada tahun 2024 sebanyak 106.2 bilion Syekel (USD 29.1 bilion). Dianggarkan kerugian tahun 2025 meningkat kepada 250 bilion Syekel (USD 70 bilion).
3. Sektor pertanian mencatat kerugian harian sebanyak 2 juta Syekel (USD 540 juta). Manakala sektor pembangunan rugi 150 juta Syekel (USD 40.5 juta) sehari. Sektor pelancongan pula mengalami kerugian 4 juta Syekel (USD 1.1 juta).
4. Sektor teknologi merudum 60 peratus kepada USD 1.3 bilion, iaitu angka terendah sejak 2017.
5. Israel mengumumkan defisit fiskal akan mencapai 6.9 peratus daripada KDNK pada 2024, iaitu kira-kira 136 bilion shekel (USD 36.1 bilion).
Akhbar Calcalist meragui pengumuman ini dan mendakwa defisit sebenar adalah lebih tinggi mencapai 7.2 peratus atau 142 bilion Syekel (USD 37.7 bilion).
6. Dari segi ketenteraan, Israel kehilangan ribuan tentera dengan sebab terbunuh dan cedera di luar jangkaan mereka. Dalam tempoh 15 bulan, pejuang Palestin berjaya memusnahkan 41 peratus jentera yang diperturunkan ke wilayah Gaza iaitu sebanya 383 buah.
7. Dari segi tawanan, Israel terpaksa akur untuk membebaskan ribuan tahanan Palestin di penjara-penjara Israel untuk ditukarkan dengan beberapa orang tawanan mereka di tangan pejuang Palestin.
Ia adalah pengulangan sejarah beberapa proses pertukaran tawanan sebelum ini termasuk pembebasan 1,027 orang Islam pada tahun 2011 untuk ditukarkan dengan seorang tentera Israel bernama Gilad Shalit yang ditahan oleh pejuang pada 2006.
8. Peperangan ini mencatat sejarah bagaimana Israel hilang sokongan masyarakat antarabangsa. Negara-negara yang dahulunya memberikan sokongan kepada Israel, kini mula menarik balik sokongan mereka.
Negara yang tidak ada kena mengena dan tidak ada sebarang kepentingan dengan konflik Timur Tengah seperti Afrika Selatan dan Ireland secara terang-terangan menentang genoside Israel.
Negara-negara barat yang masih memberi sokongan kepada Israel pula hanya menterjemahkan sokongan mewakili golongan kayangan yang memerintah sahaja. Sedangkan majoriti rakyatnya menentang Israel.
Ini dapat dilihat secara nyata dalam himpunan rakyat dan tunjuk perasaan di kampus-kampus universiti di Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan lain-lain.
9. Israel turut kehilangan kepercayaan dari kalangan warganya sendiri. Jabatan Perangkaan Israel mendedahkan sepanjang 2024, seramai 82,700 pendatang Yahudi meninggalkan Palestin. 58,900 daripada mereka membuat keputusan untuk berhijrah kekal dan tidak akan kembali lagi ke tanah jajahan itu.
10. Peperangan ini secara jelas menunjukkan kegagalan Israel untuk menghapuskan pejuang-pejuang Palestin. Sebaliknya yang menjadi sasaran adalah kediaman awam, hospital, rumah ibadat, sekolah, universiti dan semua pihak yang tiada kena mengena dengan peperangan.
11. Peperangan ini menyaksikan beberapa keputusan di peringkat antarabangsa mengesahkan bahawa kewujudan Israel di atas bumi Palestin adalah tidak sah di sudut undang-undang antarabangsa. Sebaliknya operasi pejuang yang melancarkan Tufan al-Aqsa adalah legal dan sah di sudut undang-undang kerana mereka berjuang untuk mempertahankan hak dan membebaskan tanah air mereka dari penjajah.
Walau bagaimanapun, keputusan-keputusan berkenaan mempamerkan kepada dunia bahawa semua undang-undang antarabangsa itu diabaikan apabila ia menyentuh kepentingan Israel dan Amerika.
Dunia ke hadapan adalah dunia yang tidak perlu takut dan gentar serta tidak perlu tunduk kepada kuasa Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. Sudah sampai masanya negara-negara lain merungkaikan keterikatan mereka dengan Amerika Syarikat.
Perang ini membuktikan mereka tidak kebal.
ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 21/1/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.