redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pengalaman hampir dua dekad menetap di Malaysia membuatkan pemuda ini sebati dengan kehidupan masyarakat tempatan, walaupun dilahirkan di Mesir dan ibu bapanya pula warga Nigeria.
Lebih istimewa, Mubarak Olohuntogun Mohammed Muneer Deen Olado Al-Shafi’i, 19, atau mesra disapa Mubarak, bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, malah selesa bertutur dalam dialek Terengganu.
Menyingkap kisahnya, Mubarak berkata beliau berhijrah ke negara ini ketika berumur setahun dan pada awalnya menetap di Kuala Lumpur.
“Ayah berkahwin dengan emak di Nigeria, kemudian menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir sebelum datang ke Malaysia untuk sambung belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.
“Mulanya kami sekeluarga tinggal di Kuala Lumpur dan saya dihantar ke sekolah antarabangsa, jadi banyak bertutur dengan rakan dan guru dalam bahasa Inggeris.
“Ketika saya berumur 10 tahun, ayah dapat tawaran kerja di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), jadi kami berpindah ke Terengganu. Sampai di sini, saya dihantar ke sekolah harian biasa dan di situlah bermula pergaulan saya dengan rakan-rakan Melayu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Mubarak, kehidupannya di Terengganu agak mencabar pada awalnya kerana tidak fasih berbahasa Melayu, apatah lagi dalam dialek tempatan.
“Awalnya saya bercakap dalam bahasa Inggeris, dan siapa yang faham, akan faham… Tapi ada seorang kawan bantu dan ajar saya cakap dialek Terengganu.
“Saya masih ingat lagi perkataan pertama yang saya belajar ialah ‘makang’ (makan), dan perlahan-lahan saya belajar hingga faham dan boleh bersembang dengan kawan.
“Dalam tempoh setahun, saya sudah fasih bercakap dialek Terengganu kerana bercampur dengan ramai kawan. Tapi di rumah, kami berkomunikasi dalam bahasa Inggeris walaupun ayah boleh bertutur dalam bahasa Melayu asas,” katanya.
Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui pernah diejek rakan ketika mula-mula mendaftar masuk ke sekolah.
“Diejek itu perkara biasa, biasanya mereka panggil saya ‘hitam’, tapi cuma seorang dua saja yang buat begitu dan ia tak buat saya down kerana ada kawan yang pertahankan saya.
“Paling seronok bila keluar berjalan dengan kawan. Cuma, memang ada yang pandang semacam atau cuba bercakap dalam bahasa Inggeris dengan saya bila saya ke kedai.
“Bila saya balas dalam dialek Terengganu, mereka terkejut. Itu antara pengalaman biasa saya lalui. Keluarga pula tak ada masalah saya berkawan atau keluar, asalkan saya maklumkan lebih awal,” katanya yang mendapat perhatian selepas berkongsi video di TikTok.
Berhubung sambutan Ramadan dan Aidilfitri, Mubarak berkata beliau hanya benar-benar merasai kemeriahannya selepas menetap di Terengganu.
“Sampai di Terengganu baru rasa suasana raya yang sebenar, lebih-lebih lagi bila kawan ajak beraya dan dapat duit raya.
“Di Kuala Lumpur pun ada juga duit raya, tapi entah kenapa rasanya tak sama. Pengalaman lain yang menyeronokkan adalah bila dapat berbuka puasa dengan rakan dan keluarga setiap kali Ramadan.
“Pendek cerita, saya seronok sangat tinggal di sini walaupun minggu pertama sampai dulu, saya rasa nak pindah semula ke Kuala Lumpur,” katanya.
Berkongsi hala tuju masa depan, Mubarak berkata jika ada rezeki, dia mahu menyambung pengajian di UniSZA, UIAM Gombak atau Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang dalam jurusan perniagaan.
“Itu impian saya dan saya harap ia tercapai. Akan datang, saya tak pasti sampai bila dapat tinggal di sini kerana suatu hari nanti mungkin perlu ikut keluarga pulang ke Nigeria.
“Memang sedih nak tinggalkan Malaysia sebab hampir seumur hidup saya di sini, tapi kalau pergi pun, saya pasti akan datang semula,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd