Semua makanan memudaratkan tidak akan dijual di sekolah

Semua makanan memudaratkan tidak akan dijual di sekolah

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Semua makanan yang membahayakan dan boleh memberi kemudaratan tidak akan dijual di dalam kawasan sekolah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan itu dan menegaskan pihaknya akan menghalang perkara terbabit, sekiranya ada pihak berbuat demikian.

“Saya mengulangi penegasan bahawa semua makanan yang membahayakan dan boleh memudaratkan pelajar serta murid tidak dibenarkan sama sekali dijual di dalam premis Kementerian Pendidikan (KPM).

“Dalam premis KPM, saya beri jaminan tidak akan ada makanan yang membahayakan. Namun bagi mereka yang menjual di luar premis atau luar kawasan sekolah, ia memerlukan kerjasama beberapa pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Justeru saya minta kerjasama pengetua dan guru besar supaya mengadakan perbincangan dengan PBT bagi memastikan makanan membahayakan itu tidak diperoleh dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jaulah Ramadan KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan segera diambil berkaitan penjualan produk gula-gula berbentuk seperti rokok dan peranti rokok elektronik atau ‘vape’, termasuk mengharamkan penjualannya.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, penjualan gula-gula itu memberi kesan negatif, terutama kerana ia mendorong murid sekolah untuk terjebak dalam kegiatan menghisap ‘vape’ dan merokok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top