Semua idea sendiri

Semua idea sendiri

asmaini@mediaprima.com.my

Bebas memilih rekaan dan konsep dekorasi. Itu antara impian anak jati Besut, Terengganu ini jika dia memiliki rumah suatu hari nanti.

Ternyata hari ini segalanya menjadi kenyataan dan impian itu bukan sekadar angan-angan Mat Jenin.

Rumah tersergam gagah milik Hairul Azwadi Mohd Nawi, 37, dan isteri tercinta, Noramieza Ahmad, 37, itu bagaikan terjemahan impian pasangan berkenaan.

Dari proses binaan, dekorasi ruang dalaman dan landskap secara keseluruhannya idea asal pasangan berkenaan tanpa menggunakan khidmat luar khususnya pereka hiasan dalaman profesional.

“Semuanya sendiri dan dilakukan secara berperingkat dan tidak terburu-buru.

“Segalanya perlu diteliti sebaik mungkin dari segi kos pembinaan dan pembelian kelengkapan dalaman rumah supaya bajet dapat dikawal mengikut kemampuan poket kami,” kata Hairul Azwadi ketika memula bicara saat ditemu bual Harian Metro.

Dia yang menabung lebih RM270,000 bagi membina sendiri ‘rumahku syurgaku’ itu untuk keluarganya berteduh di sebuah tanah lot di Setiu.

Rumah tenaga pengajar sekolah memandu itu siap sepenuhnya awal tahun ini dan dia sekeluarga berpindah masuk April lalu.

Kongsinya, sebelum ini dia sekeluarga tinggal menyewa di daerah sama selama beberapa tahun sebelum dilimpahkan rezeki untuk memiliki rumah sendiri.

Katanya, rumah banglo setingkat itu mempunyai keluasan 2,500 kaki persegi dan dilengkapi dengan tiga bilik tidur serta dua bilik air.

Memperincikan idea dekorasi ruang dalaman, konsep moden kontemporari adalah pilihan pasangan berkenaan.

Hairul Azwadi berkata, dia tetap berpegang kepada nasihat arwah ayahnya Mohd Nawi Salleh dan ibu tercinta, Makelthom Awang, 66, bahawa dalam setiap perkara, benda paling utama adalah ketelitian dan kesungguhan.

“Ruang yang kemas dengan padanan warna lembut dan harmoni tentunya mengilhamkan seribu satu ketenangan lebih-lebih lagi sebaik pulang dari seharian bekerja.

“Ditambah dengan situasi saya dan isteri yang gemar menghias rumah, jadi suasana selesa tentunya menjadi keutamaan,” kata bapa empat cahaya mata itu.

Idea penataan di ruang tamu dilengkapkan reka letak sofa ala moden diserikan dengan gaya pilihan langsir ‘eyelet’ polos.

Pada ruang makan pula, ilham tatarias turut diberi tumpuan dalam satu sudut khas penuh privasi ketika menjamu selera.

Ruang santai antara bilik tidur pasangan itu dan bilik anak-anak mereka turut dizahirkan dengan idea penataan yang mementingkan sudut pandangan lebih luas serta selesa.

Berlatarkan permaidani empuk lagi selesa, ruang itu sering menjadi tumpuan.

Tidak mahu keseluruhan ruang tampil berserabut, idea meletakkan hiasan ringkas pada dinding membuatkan suasana lebih tersusun rapi sedap mata memandang.

Bercerita tatarias landskap pula kata Hairul Azwadi, konsep lapang dan kembali kepada alam antara elemen utama yang diterapkan.

“Lebih penting ada kehijauan dan laman luas untuk anak-anak bermain dan bersantai ketika masa lapang.

“Pilihan tanaman yang mudah diselenggara juga menjadi keutamaan,” katanya yang begitu menggemari pokok bonsai.

Hinggakan hampir 90 peratus tanaman bonsai dilihat menghiasi segenap penjuru landskap rumah itu.

“Dari segi binaan pula, saya dan isteri lebih memilih konsep moden atap genting dengan menerapkan warna kelabu dan biru firus sebagai rona utama,” kata Hairul Azwadi.

Tidak dinafikan pagar rekaan moden rona putih dilihat melengkapkan lagi aura keunikan rumah yang tersergam indah itu!

© New Straits Times Press (M) Bhd