Semoga damai benar-benar diterjemah, Palestin bebas dan merdeka – Ismail Sabri

Semoga damai benar-benar diterjemah, Palestin bebas dan merdeka – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa syukur susulan Hamas dan Fatah bersama 12 kelompok lain di Palestin kembali bersatu.

Beliau berkata, Deklarasi Beijing yang ditandatangani semalam oleh kumpulan-kumpulan berkenaan penting bagi membuktikan mereka bersedia untuk bersama-sama membina kembali Palestin selepas diceroboh serta dijajah Israel.

“Tahniah dan sekalung penghargaan kepada China yang berusaha mendamaikan fraksi-fraksi Palestin secara tidak langsung menamatkan usaha pihak tertentu memecah belahkan rakyat negara tersebut.

“Usaha ini harus diikuti oleh seluruh dunia yang bukan hanya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi bersama-sama berusaha menamatkan penghapusan etnik dan kezaliman yang paling dahsyat pada abad ini.

“Semoga perdamaian ini benar-benar ini diterjemahkan bukan hanya di atas kertas sahaja. Palestin bebas dan merdeka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hamas dan Fatah serta beberapa kumpulan lain Palestin memeterai perjanjian di Beijing semalam untuk bekerjasama bagi ‘perpaduan nasional’ yang disifatkan China sebagai kesepakatan untuk memerintah Gaza bersama selepas perang berakhir.

Menteri Luar China, Wang Yi yang menjadi tuan rumah kepada pegawai kanan Hamas, Musa Abu Marzuk, utusan khas Fatah Mahmud al-Aloul dan utusan khas dari 12 pertubuhan Palestin lain berkata, mereka bersetuju menubuhkan Kerajaan Perdamaian Nasional Sementara untuk mentadbir Gaza selepas perang.

Pengumuman itu hadir selepas lebih sembilan bulan perang Hamas-Israel yang tercetus pada Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette