am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Sembilan individu termasuk wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan pekerjaan yang menyasarkan warga United Kingdom (UK), minggu lalu.
Tertuduh Lee Kok Hong, 28; Alvin Loh Kar Xuan, 20; Stella Teo Kai Ting, 20,l; Tristan Wong Yong Jing, 22; Liow Jia Wei, 21; Teng Kai Wen, 20; Ernest Koh Boyuan, 23; Chin Jun Soon, 20; dan Koh Zhi Yu, 24; mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM7,000 setiap seorang dan memerintahkan penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa membuat penipuan dalam talian dengan tawaran kerja sambilan tidak wujud (job scam) dan secara curang mendorong orang-orang yang terpedaya supaya memindahkan hartanya.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, di sini pada 5 petang, 16 Januari lalu, dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Foo Fang Leong, manakala, kesemua tertuduh diwakili peguam Tan Hik Tao dan G Neshaline.
Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh ditahan pada 16 Januari lalu dalam satu serbuan oleh anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.
Hasil laporan pakar mendapati kesemua peranti eksibit iaitu komputer riba dan telefon bimbit tertuduh digunakan bagi menjalankan penipuan dalam talian dan polis juga mendapati tertuduh menawarkan pekerjaan tidak wujud yang menyasarkan mangsa yang terdiri daripada warga UK.
© New Straits Times Press (M) Bhd