Sembilan daripada 14 hakim tertinggi dijadual bersara tahun ini

Sembilan daripada 14 hakim tertinggi dijadual bersara tahun ini

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sembilan daripada 14 hakim tertinggi dijadual akan bersara tahun ini sekali gus menyaksikan kekosongan yang besar akan berlaku dalam badan kehakiman negara.

Mendahului senarai itu adalah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang akan mencapai usia 66 tahun pada Julai ini. Beliau dilahirkan pada 2 Julai 1959.

Selain itu, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, masing-masing lahir pada 3 Julai 1959 dan 15 Mei 1959.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang dilahirkan pada 25 Januari 1959 sudah mencapai usia persaraan mandatori awal tahun ini, namun difahamkan perkhidmatannya disambung enam bulan lagi.

Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur 66 atau sehingga suatu masa kemudiannya yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi masa itu tidak boleh dilanjutkan enam bulan selepas dia mencapai umur 66 tahun.

Selain itu, empat hakim Mahkamah Persekutuan juga dijadual bersara tahun ini iaitu Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Hanipah Farikullah.

Kesemua mereka lahir pada 1959.

Sementara itu, Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal yang sudah mencapai usia persaraan wajib Oktober tahun lalu, akan bersara pada April ini selepas tempoh perkhidmatannya dilanjutkan enam bulan lagi.

Jika sembilan hakim tertinggi itu mencapai umur bersara mandatori tahun ini, bermakna hanya tinggal lima hakim Mahkamah Persekutuan yang akan bersidang mendengar kes-kes di peringkat rayuan.

Mereka ialah Datuk Rhodzhariah Bujang, 64, Datuk Abu Bakar Jais, 63, Datuk Nordin Hassan, 62, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, 63, dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, 57, yang dilantik pada November tahun lalu.

Perkembangan itu sekaligus memberi kesan besar dalam urusan perjalanan sistem kehakiman negara, memandangkan penglibatan keanggotaan panel Mahkamah Persekutuan di peringkat rayuan.

Dalam urusan pelantikan hakim, Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menyatakan, semua pelantikan hakim ke jawatan pentadbiran tertinggi hendaklah dibuat oleh YDPA yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Semakan di laman web Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pula menunjukkan badan kehakiman mempunyai 29 hakim Mahkamah Rayuan, 73 hakim Mahkamah Tinggi dan 27 pesuruhjaya kehakiman.

Namun, Ketua Hakim Negara sebelum ini menjelaskan, tiada mana-mana pihak selain JAC dan Perdana Menteri yang boleh mencadangkan calon untuk pelantikan ke semua jawatan hakim mahkamah tertinggi.

Ketika ini, JAC dianggotai oleh sembilan ahli termasuk Tengku Maimun selaku pengerusi sementara empat yang lain ialah Abang Iskandar, Hasnah, Abdul Rahman dan Nallini.

Empat lagi ahli ialah, bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali; bekas Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Hartini Saripan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top