khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan beliau akan menjawab isu Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat sebaik sahaja kes itu selesai di mahkamah.
Beliau berkata, buat masa ini, beliau tidak boleh menjawab perkara itu kerana ia adalah kes mahkamah.
“Soal tidak jawab adendum, saya dah bagi tahu saya nak jawab macam mana, ini kes mahkamah. Saya boleh jawab, saya dah bagi jaminan di Parlimen.
“Selesai kes mahkamah saya akan jawab, saya nak tengok Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) hadir atau tidak.
“Nak lari daripada mana? Ya, kamu boleh jerit, jerit banyak mana pun. Saya tahu faktanya, tetapi nak suruh singgung kedudukan raja, saya tidak boleh.
“Dalam hal ini, boleh periksa, saya memang (ada) hubungi (Majlis) Raja-Raja,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang bertanyakan polisi yang ada dalam negara ini menyebabkan pelabur berasa tidak yakin.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mendakwa, pembangkang tidak peduli mengenai Titah Adendum yang menjadi kes mahkamah kini.
“Kes itu di mahkamah tetapi pembangkang tidak peduli, subjudis tidak peduli kerana dia (pembangkang) anggap dia ‘above the law’,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan sudah memaklumkan tindakan untuk tidak membincangkan isu Titah Adendum adalah selaras dengan prinsip pemisahan kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, urusan semakan kehakiman dan pengampunan adalah di bawah bidang kuasa mahkamah dan Lembaga Pengampunan masing-masing.
Azalina dilapor berkata, permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu membenarkan prosiding itu diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd