'Selesa' watak berat

'Selesa' watak berat

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Skil lakonannya tidak perlu disangkal. Penjiwaan setiap watak yang dibawa tidak pernah mengecewakan. Itulah kemampuan dan bakat hebat pelakon, Puteri Balqis.

Kini, namanya kembali menjadi sebutan peminat drama tempatan apabila muncul dengan watak penuh kontroversi, Dhamiah dalam drama bersiri, Keluarga Itu.

Mencecah usia 18 tahun esok, Puteri Balqis yang mesra disapa dengan panggilan Aqish berkongsi pengalamannya membintangi Keluarga Itu dan menjayakan watak yang benar-benar berat dan mencabar.

“Ya, memang berat. Saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu menggambarkannya. Pertama sekali, ia berat kerana jumlah episod yang panjang iaitu sebanyak 30 episod.

“Jadi, penggambaran mengambil masa berbulan-bulan dan sepanjang tempoh itu, hampir setiap hari saya menangis. Menangis berterusan memang memberi tekanan emosi yang besar. Mungkin itulah yang menyebabkan rambut saya mula beruban,” katanya.

Cukup dikenali sebagai individu yang santai dan bersahaja, Aqish berkongsi ‘beban’ rasa yang ditanggungnya saat menjayakan watak Dhamiah.

“Namun, yang paling berat sebenarnya adalah dari sudut ‘chemistry’ (keserasian) saya dengan pelakon-pelakon lain. Kami membina hubungan kerja yang sangat kuat dan itu menjadikan perpisahan dengan watak ini lebih sukar.

“Beratnya bukan sekadar meninggalkan watak, tapi juga meninggalkan ikatan yang terbentuk sepanjang penggambaran,” katanya.

Namun, ada juga kemanisan dalam watak Dhamiah yang dikupas oleh Aqish menerusi lakonannya.

“Secara peribadi, saya rasa beban kali ini lebih terarah kepada sisi cinta dalam cerita. Kalau babak-babak watak dikhianati atau dianiaya, saya dah biasa bawa, tapi kisah cinta yang digarap dalam drama ini betul-betul menyentuh hati saya.

“Hubungan cinta watak saya dengan watak Aman, dan bagaimana kasih itu dilanjutkan kepada seorang anak kecil. Itu yang paling menyentuh hati,” katanya.

Menurut Aqish, dia juga berbesar hati apabila watak yang dilakonkannya berjaya membuka mata beberapa individu yang pernah berdepan situasi sama.

“Saya perasan ada video yang tular baru-baru ini, tapi tiada siapa DM atau hubungi saya secara langsung. Saya juga tidak meninggalkan sebarang komen sebab saya faham benar perasaan itu.

“Jadi, saya sokong saja dari jauh. Malah, saya sangat mengagumi keberanian dia untuk bersuara kerana bukan semua orang mampu melakukannya.

“Bagi sesetengah orang, cerita ini mungkin terlalu sensitif. Tapi hakikatnya, inilah realiti dunia hari ini. Isu-isu seperti penderaan emosi, manipulasi terhadap anak-anak, semua ini memang sedang berlaku.

“Jadi, saya bersyukur apabila ada yang berani bersuara, memecahkan kesunyian. Saya rasa bangga,” katanya.

Berkongsi mengenai cara kerja, Aqish selesa untuk menumpukan seluruh tenaga dan tumpuannya kepada satu naskhah dalam satu masa.

“Buat masa ini, saya sendiri belum pasti berapa lama saya akan berehat. Tapi memang itu ‘permainan’ saya, kalau saya sedang terbabit dalam sebuah produksi, saya akan habiskan dulu sepenuhnya sebelum ambil sebarang tawaran lain.

“Saya sangat jaga kesihatan fizikal dan mental. Saya tidak mahu terlalu memaksa diri.

“Memang terlalu penat kalau perlu pegang lebih daripada satu naskhah dalam masa yang sama lebih-lebih lagi jika kedua-duanya memerlukan emosi berat.

“Kalau satu watak gembira dan satu lagi berat, mungkin masih boleh diuruskan. Tapi bagi saya, watak-watak yang terlalu gembira pun saya rasa kurang sesuai. Kadang-kadang bila bawa watak gembira, saya jadi ‘kayu’,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan, cinta hatinya adalah kepada watak-watak berat dan perlu bermain dengan emosi mendalam.

“Saya memang lebih cenderung kepada watak yang memerlukan emosi mendalam. Tapi berat itu tidak semestinya bermaksud kesedihan semata-mata.

“Ada macam-macam jenis berat dan sekarang saya sedang mencari watak yang berat tapi dari sudut yang berbeza,” katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya berdepan dengan gandingan pelakon yang kurang ‘memberi’ dalam lakonan, Aqish berkata, dia lebih selesa untuk tidak merungut.

“Saya juga pernah bergandingan dengan pelakon yang tidak banyak ‘memberi’ dari segi tenaga atau keserasian.

“Tapi saya akan cuba sedaya upaya untuk ‘sesuaikan’ dengan apa mereka beri. Kalau mereka bawa tenaga rendah, saya pun turunkan kadar emosi saya.

“Saya tidak akan paksa atau cuba ‘cari chemistry’ secara berlebihan dalam lakonan sebab saya percaya, kalau seseorang pelakon itu sudi memberi, maka semuanya akan jadi secara semula jadi.

“Tapi kalau pelakon itu jenis tak mahu buat bacaan skrip, tak mahu ‘rehearse’ (berlatih), saya tak akan paksa. Saya okay saja.

“Saya pun jenis yang banyak diam bila di lokasi. Kalau ada yang nak main-main atau tak serius, saya biarkan saja. Saya lebih suka perhatikan dan belajar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top