suliati@hmetro.com.my
MEMAKAI kasut yang sesuai tidak hanya memberikan keselesaan, tetapi juga dapat mengelakkan kecederaan.
Bukan itu saja, kasut juga dapat mempengaruhi cara si pemakai itu berjalan, sekali gus membantu postur badan kelihatan lebih baik, seimbang dan lebih yakin.
Memakai kasut yang salah tidak hanya membuatkan kaki tidak selesa dan menyakitkan, tetapi berpotensi memberikan kesan buruk dalam jangka panjang.
Oleh itu, jangan memilih kasut hanya pada gaya dan warna, tetapi cari yang benar-benar selesa dipakai dan sesuai dengan aktiviti mahu dilakukan.
Merancang untuk membeli kasut baru? Ikuti beberapa tip cara memilih kasut yang sesuai dan lebih penting selesa.
1) Saiz kasut dan selesa
Saiz adalah asas penting ketika mahu membeli kasut. Jangan pilih kasut yang terlalu ketat dan mudah terkeluar.
Kasut yang terlalu ketat adalah kasut yang menyebabkan jari kaki tidak boleh bergerak dan tidak selesa. Manakala kasut yang terlalu besar pula adalah kasut yang mudah terkeluar dari tumit.
Dengan saiz yang sesuai dan selesa, ia membuatkan kaki tidak lenguh walaupun dipakai dalam masa yang lama.
2) Beli pada waktu yang sesuai
Jika merancang untuk membeli-belah pastikan sesi membeli kasut adalah agenda terakhir. Waktu terbaik membeli kasut adalah pada sebelah petang atau malam.
Ini kerana apabila kaki berjalan seharian dari pagi sampai petang, otot kaki akan mengembang, sekali gus mempengaruhi saiz kaki.
Selain itu, ketika mahu membeli atau mencuba kasut baru, pastikan anda memakai stoking yang biasa dipakai. Hal ini bagi mengelak kasut tiba-tiba menjadi tidak muat disebabkan memakainya dengan stoking lain yang lebih tebal.
3) Material atau fabrik yang sesuai
Sebelum membeli kasut, kita perlu tahu material yang digunakan adakah sesuai dengan kulit kaki atau ‘outfit’ yang akan digunakan nanti.
Material kulit, getah dan kanvas antara jenis material kasut yang dijual di pasaran, sekali gus memberi peluang kepada kita untuk dapatkan lebih banyak pilihan sesuai dan mudah bagi pemakaian harian.
4) Tapak luar
Pilih kasut yang tapak bahagian luarnya lebih tebal supaya lambat haus dan dapat memberi cengkaman lebih kuat.
Bunga tapak kasut juga memainkan peranan supaya kasut mampu mencengkam dengan baik. Dalam pemilihan tapak kasut ini, ramai yang berpendapat tapak getah sangat bagus berbanding yang lain.
Ini kerana selain selesa, ia juga lembut dan mempunyai cengkaman yang kuat.
5) Kasut tahan lasak
Pilih kasut yang tahan lasak. Biasanya kasut jenis ini harganya lebih mahal, namun kualiti dan jangka hayatnya lebih lama.
Jadi, lebih berbaloi untuk wang yang dibelanjakan. Alah membeli, menang memakai.
© New Straits Times Press (M) Bhd