firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Miroslav Kuljanac mahu anak buahnya melupakan segera kemenangan selesa 3-0 ke atas Sabah FC dengan mengalih fokus berdepan Terengganu FC (TFC) pada 10 Ogos ini.
Jelas jurulatih berasal dari Croatia itu, kejayaan mengejutkan Sabah itu sememangnya tidak disangka apatah lagi dengan pelbagai kemelut dalaman yang melanda KL City ketika ini.
Namun, katanya, pemain membuktikan sebaliknya apabila beraksi dengan baik untuk menuai tiga mata penuh dengan menundukkan Sabah 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam tadi.
Ujarnya, rentak sama perlu dikekalkan apabila berdepan TFC di gelanggang sama nanti.
“Jadi, tempoh (10 hari) ini kita perlu membuat persiapan serius menentang Terengganu. Semalam, mereka (Terengganu FC) menang.
“Saya fikir kita berkongsi mata sama dengan mereka dalam carta Liga Super ketika ini,” katanya dalam sidang media selepas aksi itu.
Beliau berkata, KL City akan mengharungi jadual lebih padat sepanjang bulan ini apabila naib juara Piala AFC 2022 itu akan bertanding di Kejuaraan Kelab Asean pada pertengahan Ogos ini.
“Kita tiada masa sebab dengan jadual sebegitu, kita akan menyertai saingan kelab-kelab Asean sekitar Ogos.
“Saya fikir kita akan menghadapi beberapa perlawanan penting (ketika itu),” katanya.
Dalam aksi malam tadi, tiga gol skuad The City Boys dihasilkan menerusi gol sendiri pelawat, Kwang Min-ko disusuli Paulo Josue dan Zhafri Yahya.
© New Straits Times Press (M) Bhd