Menempuh perjalanan kira-kira 8,000 kilometer (km), dua pemuda dari Bagan Serai, Perak iaitu Mohamad Al Bukhari Ellia, 27, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, selamat tiba di Madinah selepas 113 hari berjalan kaki.
Momen itu lebih manis lagi apabila mereka berpeluang bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang beriktikaf di Masjid Nabawi, Madinah.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Ahmad Zahid di laman Facebooknya, beliau meluahkan rasa bangga dengan dua anak muda tersebut yang berjaya mengharungi pelbagai rintangan demi ke tanah suci.
Selepas 113 hari berjalan kaki
“Ketika sedang beriktikaf di Masjid Nabawi, saya dipertemukan dengan dua orang sahabat, saudara Mohamad Al-Bukhari Ellia dan saudara Mohamad Azizul Abdullah yang berkongsi kisah luar biasa mereka berjalan kaki dari tanah air kita menuju ke Makkah dalam misi menunaikan ibadah Haji 2025.
“Melangkahkan kaki sejauh ribuan kilometer selama beberapa bulan dari Masjid Jamek Changkat Lobak, Bagan Serai menzahirkan ketabahan dan membuktikan keberanian mereka di dalam merealisasikan niat suci untuk mencari cinta Ilahi dan nabi SAW.
“Perjalanan mereka yang sanggup berjalan ribuan kilometer demi meraih reda Ilahi seharusnya menjadi inspirasi. Sejauh mana pula usaha kita dalam mendekatkan diri mencari kasihnya Rabbi? Tepuk dada tanyalah hati,” katanya.
Ahmad Zahid turut berkongsi ayat ke-27 Surah Al-Hajj yang bermaksud ‘Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan dengan menaiki unta yang kurus, datang dari segenap penjuru yang jauh’.
Artikel lain: Mahu tunai haji tahun 2025, 2 lelaki sudah mula jalan kaki dari Perak ke Mekah
Selepas 113 hari berjalan kaki
Sementara itu, menerusi perkongsian Mohamad Al Bukhari di laman TikToknya, dia dan Mohamad Azizul meluahkan rasa syukur kerana usaha mereka selama ini telah membuahkan hasil.
Dalam pada itu, Mohamad Azizul menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak pernah berhenti mendoa dan membantu mereka sepanjang perjalanan yang panjang itu.
Sumber: Facebook @Zahid Hamidi