Selebriti Hollywood dengan kisah luar biasa

Selebriti Hollywood dengan kisah luar biasa

Setiap individu mungkin menyimpan pelbagai memori atau kisah menarik dalam hidup mereka.
Sama ada pahit, manis, suka atau duka, semuanya tersimpan rapi sebagai satu pengalaman yang tidak dilupakan.

Dunia artis dan selebriti juga banyak ragam dan kerenahnya sementelah mereka juga sama sebagaimana manusia lain.

Baik sudah menjadi bintang, atau pun sebelum kehidupan mereka berubah seputar 360 darjah setelah bergelar anak seni.

Untuk tatapan pembaca Pancaindera minggu ini, berikut kami sajikan beberapa artis terkemuka Hollywood dengan pengalaman menarik dan luar biasa yang pernah mereka alami.


Kesha

Selepas merakam demo lagunya, Kesha menyelinap masuk ke rumah penyanyi, Prince dengan merasuah seorang tukang kebun sebanyak $5.

Dia kemudiannya menyusup di bawah pagar dan berjalan masuk melalui pintu yang tidak berkunci. Setelah berhadapan dengan penyanyi itu, dia meninggalkan sekeping cakera padat (CD) miliknya sebelum melarikan diri.

Dalam rancangan The Tonight Show Starring Jimmy Fallon, Kesha mendedahkan perkara itu.

“Saya masuk ke dalam lif, kedengaran muzik Prince sedang dimainkan.Kemudian saya naik lif dan keluar, sambil bercakap di telefon dengan ibu saya, ‘Saya rasa saya mungkin akan ditangkap.’

“Kemudian saya melangkah keluar, dan di sana ada Prince sedang bermain gitar, memakai beanie, dan saya hampir mahu terkucil kerana terkejut. Prince hanya memandang saya dengan pelik, seolah-olah berkata, ‘Siapa pula awak ini?’

“Saya pun melambai-lambaikan CD saya, meletakkannya di atas meja, dan terus melarikan diri,”katanya.

Sabrina Carpenter

Penyanyi terkenal, Sabrina Carpenter mula memuat naik lagu-lagu saduran (cover) di YouTube sejak di usia 9 tahun.

Mendapat perhatian dan berjaya meraih peminat di usia muda, ia membuahkan hasil buat Sabrina kerana pada usianya 11 tahun, lagu nyanyiannya yang berjudul You Raise Me Up oleh Josh Groban menjadi tular di China.

Malah, disebabkan itu, Sabrina juga telah dijemput ke Festival TV Hunan, di mana dia membuat penampilan pertamanya di televisyen.

Mengambil peluang itu, Sabrina juga turut menyanyikan lagu Christina Aguilera berjudul Something’s Got a Hold On Me.

Guillermo Del Toro

Pada tahun 1997, bapa Guillermo Del Toro, Federico Del Toro Torres, telah diculik. Tanpa disangka, James Cameron, rakan serta pengarah filemnya telah membantu mereka dengan membayar khidmat seorang perunding tebusan.

Perkara itu dikongsikannya menerusi satu temu bual bersama ReelBlend Podcast pada tahun 2022.

“Ketika ayah saya diculik, ada maklumat yang tidak betul, kononnya ayah saya yang telah membayar wang tebusan. Tidak, sebenarnya kami yang membayarnya.

“Tetapi James yang membayar untuk perunding tebusan. Dia menanggung kos perunding itu, dan kami membayarnya kembali selepas beberapa ketika. Ia adalah situasi yang sangat mencemaskan.

“Dalam kekusutan kejadian yang berlaku, James masuk serta mengambil alih keadaan. Saya masih ingat dia cakap ‘perunding tebusan akan tiba di rumah awak dalam masa 72 jam untuk membantu keluarga awak melalui proses ini.’ Dia melakukannya dengan inisiatif sendiri.

“Kami tidak meminta, dia yang menawarkan diri. Malah, dia juga menawarkan untuk membayar wang tebusan. Dia memang begitu. Dia seorang yang sangat setia. Sangat tabah,”katanya.

Doja Cat

Ketika Doja Cat masih kecil, dia dan abangnya pernah dijaga oleh Alexis Haines, bintang Pretty Wild dan ahli kumpulan Bling Ring secara berkala.

Dalam satu profil mengenai Doja yang diterbitkan oleh Rolling Stone, perkara itu ada dikongsikan oleh Alexis.

“Kami seakan kanak-kanak yang dibesarkan tanpa banyak pengawasan. Kami mempunyai ibu yang berfikiran hippie. Boleh dikatakan, mungkin juga kami ini diberikan lebih banyak kebebasan daripada yang sepatutnya untuk kanak-kanak,”katanya.

Jack Black

Ibu Jack Black, Judith Love Cohen, ialah seorang ballerina berbakat yang kemudian menjadi jurutera NASA.

Dalam sebuah perkongsian cerita, abang tiri Jack, Neil Siegel memberitahu bagaimana momen menarik Jack ketika dilahirkan oleh Judith.

“Menurut cerita ibu, dia sebenarnya masih sibuk dengan kerja dan tetap ke pejabat pada hari Jack dilahirkan. Ketika tiba masanya untuk ke hospital kerana mahu melahirkan, dia sebenarnya telah membawa bersama dokumen-dokumen mengenai masalah yang sedang dia kerjakan pada waktu itu.

“Kemudian pada hari yang sama, dia menghubungi bosnya dan memberitahu bahawa dia telah menyelesaikan masalah itu. Dan, oh, ya, bayi iaitu Jack juga telah lahir,”kongsinya.

Keanu Reeves

Ketika aktor, Keanu Reeves masih kecil, ibunya, Patricia Taylor, bekerja sebagai seorang pereka kostum yang banyak menghasilkan busana untuk Dolly Parton. Itu termasuk menghasilkan sut arnab Playboy ikonik yang disarung oleh penyanyi tersebut.

Dalam rancangan The Drew Barrymore Show, Dolly berkata, dia sering melihat Patricia membawa anak lelakinya yang masih kecil, Keanu bersama ke tempat kerja.

Setelah beberapa tahun, Dolly berkongsi, dalam sebuah acara hiburan dan sedang dalam rangka persembahan, Dolly dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang mengetuk pintu bilik persalinannya.

“Saya sedang membuat persembahan di suatu tempat, dan seseorang mengetuk pintu. Lelaki itu bertanya, ‘Adakah awak masih ingat saya? Saya budak kecil yang selalu duduk di kaki awak sementara ibu saya menyiapkan pakaian.

“Saya terkejut kerana rupanya Keanu adalah anak Patricia yang sudah besar dan dia kini bergelar seorang aktor,”katanya.