Selangor umum kemasukan Kalamullah

Selangor umum kemasukan Kalamullah

PETALING JAYA: Selangor FC secara rasmi mengumumkan kemasukan penjaga gol baharu, Kalamullah Al-Hafiz bagi menguatkan pasukan itu dalam baki saingan Liga Super musim ini.

Kemasukan Kalamullah yang juga merupakan penjaga gol Harimau Malaya itu diyakini dapat menguatkan lagi benteng terakhir Gergasi Merah kendalian Nidzam Jamil.

“Skuad Gergasi Merah berbesar hati mengumumkan penjaga gol baharu, Kalamullah yang berusia 29 tahun untuk mengharungi baki musim 2024/2025 bersama Selangor FC.

“Lebih mesra dengan panggilan Kalam, tiga tahun beraksi sebagai pemain pembangunan Felda United, beliau berjaya menembusi skuad utama pasukan tersebut dan beraksi dalam satu perlawanan.

Selangor umum kemasukan Kalamullah

“Nama beliau terus dikenali ramai bersama skuad PJ City FC sejak 2019. Kalam berjaya membuat 54 penampilan dalam empat tahun berkhidmat bersama PJ City FC sebelum kelab tersebut dibubarkan.

“Beliau kemudian menempa nama bersama Kedah Darul Aman FC selama setahun dengan 36 penampilan. Mengikut statistik, Kalam berjaya membuat 34 rekod perlawanan tanpa bolos,” kata Selangor FC.

Terdahulu semalam, Kedah Darul Aman (KDA) FC mengumumkan Kalamullah dan pihak pengurusan KDA FC secara bersama bersetuju untuk penamatan kontrak lebih awal.

Keputusan Kalamullah meninggalkan skuad Hijau Kuning dipercayai kerana kemelut pasukan itu yang kini didakwa gagal melunaskan kira-kira enam bulan gaji pemain mereka.-UTUSAN

Scroll to Top