Selangor selangkah juara Piala Cabaran

Selangor selangkah juara Piala Cabaran
Selangor selangkah juara Piala Cabaran

Pemain Selangor FC Alvin Mateus Fortes menjaringkan gol peribadi keduanya ketika menentang PDRM FC pada perlawanan akhir pertama MFL Challenge Cup 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini. Foto Bernama

SELANGOR FC selangkah untuk muncul juara Piala Cabaran selepas menewaskan PDRM FC 3-2 dalam perlawanan akhir pertama yang berlangsung pada Sabtu.

Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Selangor garang berada di hadapan menerusi jaringan pembukaan Alvin Fortes pada minit ketiga selepas menyudahkan hantaran Ronnie Fernandez.

Tiga minit kemudian, kesilapan penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi di luar kotak penalti menyaksikan penyerang PDRM FC, Shahrel Fikri Md Fauzi berjaya merampas bola dan berpeluang untuk menjaringkan gol sebelum dia dikasari oleh Safuwan Baharuddin.

Tindakan kapten Selangor itu membawa padah apabila dia dilayangkan kad merah selepas insiden itu disemak oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) menyaksikan pasukan tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menggugat Selangor apabila Fortes sekali lagi meledak gol pada minit ke-18 untuk meletakkan Selangor selesa di depan.

Namun, penguasaan bola selepas itu menjadi milik PDRM dan Shahreil Fikri berjaya merapatkan jurang selepas menyempurnakan hantaran Fadi Awad untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-27.

Usaha berterusan pasukan pelawat untuk mencari gol penyamaan berhasil berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil Shahrel Fikri ditanduk kemas Badrul Affendy menewaskan Kalamullah pada minit ke-39.

Bersambung separuh masa kedua, skuad gergasi merah tidak menunggu lama untuk kembali mendahului menerusi jaringan Ali Olwan selepas menyambut hantaran Quentin Cheng pada minit ke-50.

PDRM cuba menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan menerusi beberapa peluang berbahaya, namun tidak berjaya apabila pertahanan Selangor lebih berdisiplin untuk mengekang serangan The Cops.

Ia sekali gus menyaksikan Selangor membawa bekalan satu gol penting tersebut untuk perlawanan akhir kedua di gelanggang sama pada Sabtu depan.

Scroll to Top