Selangor pertimbang e-sukan dalam Para Sukma tahun depan

Selangor pertimbang e-sukan dalam Para Sukma tahun depan

Oleh Ruwaida Md Zain

am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Selangor sedang mempertimbangkan untuk memasukkan sukan elektronik (e-sukan) dalam kejohanan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) di Selangor tahun depan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi, berkata setakat ini pihaknya sudah ada menerima cadangan sukan berkenaan.

“Setakat ini Para Sukma masih dalam perbincangan, cuma kita boleh sahkan ada 10 sukan teras dipertandingkan, sukan tambahan akan dibincangkan.

“Antaranya seperti sukan boccia, badminton, memanah, olahraga, renang. Untuk sukan tambahan pula, kita ada cadangkan e-sukan.

“Sebelum ini Para Sukma tiada e-sukan, cuma ada cadangan. Kita akan pertimbang dan serah kepada majlis sukan negeri-negeri untuk mereka buat keputusan (e-sukan dalam Para Sukma ke-26),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas memyempurnakan majlis pembukaan bazar raya ‘Raya Dulu & Kini’ Central i-City di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri juga ada perancangan untuk mengenalpasti atlet para yang berbakat dan berpotensi dalam acara e-sukan ini.

“Sekiranya ada keputusan melibatkan e-sukan dalam para sukma, kita akan melihat bakat-bakat yang ada..kita tahu ada yang berbakat.

“Kerajaan negeri ada perancangan untuk mengenalpasti bakat ini. Sekiranya ada keputusan melibatkan e-sukan dalam Para Sukma, kita akan melihat bakat-bakat yang ada..kita tahu ada yang berbakat,” katanya.

Pada masa sama katanya, Selangor akan fokus kepada matlamat asas Sukma dengan memastikan sukan yang dipertandingkan ini adil kepada semua dan tidak hanya fokus kepada kenegerian sahaja.

“Kita mahu meraikan semua negeri dan memberi ruang kepada semua atlet supaya mereka boleh bersaing dengan menunjukkan persembahan terbaik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top