mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC kemungkinan akan menukar taktikal permainan dalam usaha meraih kemenangan bertemu Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.
Pengendali Selangor FC Katsuhito Kinoshi berkata, beliau tidak mahu pisang berbuah dua kali terutamanya selepas tewas kepada skuad Tok Gajah pada aksi 16 pasukan terbaik Piala Malaysia hingga terlepas peluang untuk melangkah lebih jauh dalam saingan terbabit.
Beliau berkata, kehadiran beberapa tonggak utama selepas pulih daripada kecederaan turut bakal membantu memperkuatkan lagi pasukan untuk meraih tiga mata penting pada perlawanan terbabit.
“Kali terakhir kita berdepan Sri Pahang, saya tiba di sini saya fikir kurang daripada seminggu. Sekarang, saya berada di sini selama dua bulan sejak saya tiba.
“Jadi, saya faham mereka (pemain-pemain) cuba memahami falsafah (permainan) saya. Dan saya cuba memahami gaya permainan mereka. Saya harap aksi kali ini lebih baik.
“Harith Haiqal sudah kembali menyertai latihan penuh. Tapi saya tak boleh cakap beliau akan bermain atau di bangku simpanan. Tetapi beliau sudah pulih,” katanya.
Selain itu, pengendali berasal dari Jepun itu juga yakin pasukannya akan terus menampilkan aksi konsisten bagi memastikan terus kekal di tangga kedua saingan Liga Super.
“Kita akan perbaiki setiap kelemahan pasukan supaya dapat mengekalkan momentum kemenangan sekali gus mampu terus berada dalam kelompok teratas Liga Super,” katanya.
Mengikut rekod, ketika ini skuad Gergasi Merah berada di tangga kedua Liga Super selepas meraih 39 mata manakala Sri Pahang pula di kedudukan ke-10 menerusi pungutan 16 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd