Selamat tinggal Umar, hilanglah derita mu

Selamat tinggal Umar, hilanglah derita mu

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Alor Setar: Selepas hampir lima bulan terlantar sakit, Che Umar Rais Che Fairollah, 4, menghembuskan nafas terakhirnya jam 12.11 tengah hari tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Khabar duka itu disampaikan ibunya, Nurul Izzati Barni, 30, menerusi panggilan telefon kepada Harian Metro.

Menurut Nurul Izzati, dia menerima panggilan daripada pihak hospital kira-kira jam 11 pagi memaklumkan jantung Umar dalam keadaan lemah dan perlu diberi bantuan menerusi mesin pernafasan.

“Kebetulan, saya dan suami (Che Fairollah Che Mezam, 40) memang dalam perjalanan ke HSB. Tapi waktu sampai, kami diberitahu Umar sudah meninggal dunia.

“Sebagai ibu, tentunya saya sangat sedih. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Allah SWT kerana Umar pun sudah lama sakit dan kini hilang sakitnya di dunia,” katanya.

Nurul Izzati berkata, jenazah Umar masih berada di Jabatan Forensik dan akan diuruskan di hospital.

Katanya, jenazah anaknya akan disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Saadah Kampung Tebengau, di sini.

“Kemungkinan jenazah akan dikebumikan hari ini juga selepas solat Asar nanti.

“Mohon semua sedekahkan al-Fatihah buat Umar dan terima kasih sangat kepada semua yang menitipkan doa, kata semangat juga sumbangan buat anak saya sebelum ini.

“Saya sudah kehilangan Umar buat selamanya tapi syukur kerana berpeluang menjaganya… semalam pun sempat pegang tangannya sebelum dia tidur dengan nyenyak,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah penderitaan Umar yang dulunya aktif dan petah bercakap namun kini terlantar sakit selepas lemas terjatuh di dalam kolam ketika bercuti dengan ibunya, Nurul Izzati di sebuah inap desa.

Penderitaan Umar dapat dilihat menerusi perkongsian gambar dan video dimuat naik Nurul Izzati di TikTok menunjukkan keadaan anak bongsunya hingga meruntun hati warganet.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top