am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Perjalanan pulang seorang lelaki ke rumah isteri di Segamat, Johor, bertukar tragedi apabila kereta dipandunya terbabas di Kilometer (km) 379.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di laluan Ajil menghala ke Bukit Besi, hari ini.
Akibat kemalangan, mangsa Che Rosli Che Mat, 57, yang dalam perjalanan dari Kelantan menghala ke Segamat, Johor, untuk bertemu isterinya maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11.30 pagi dan pihaknya menerima maklumat mengenai nahas pada 11.55 pagi.
Menurutnya, siasatan awal kereta Honda City dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri sebelum masuk ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Menurutnya, siasatan ke atas kenderaan mendapati tayar hadapan sebelah kiri pecah, bumper hadapan tercabut, lampu hadapan sebelah kiri pecah,calar pada sisi kiri kenderaan dan kerosakan belum dapat dipastikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd