Malaysia terus komited melaksanakan misi kemanusiaan dalam membantu 41 pesakit warga Palestin yang akan ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Seramai 41 rakyat Palestin yang cedera telah dibawa ke Malaysia selain diiringi 86 orang waris, hari ini.
Antara mereka adalah kanak-kanak, remaja dan dewasa yang mana telah melalui proses dokumentasi menerusi Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Dalam Negeri.
41 pesakit warga Palestin akan dirawat
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini mereka ditempatkan sementara di Hangar Nombor 16 Skuadron, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia yang dijadikan sebagai Mini Hospital (Medical Staging Area).
Beliau berkata, pesakit yang dibawa ke Malaysia telah melalui proses tapisan yang dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK), ATM bagi memastikan setiap daripada mereka boleh melalui penerbangan yang panjang.
“Antara rawatan yang diberikan kepada pesakit termasuklah patah dan kehilangan anggota badan terutamanya kaki dan tangan, luka parah di kepala, kecederaan mata dan lain-lain penyakit serta kecederaan yang berpanjangan kesan daripada akses kepada kemudahan kesihatan yang terhad,”ujar beliau.
Katanya lagi, sebanyak 26 buah ambulan telah disediakan untuk membawa pesakit dari lapangan terbang ke hospital, serta sebuah bas dan 8 buah van untuk membawa waris dari transit ke hospital.
Terdahulu, seramai 127 orang rakyat Palestin dilaporkan tiba di Pangkalan Udara Subang (PU Subang), hari ini.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengaturgerakkan dua buah pesawat A400M bagi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk menerima rawatan di Malaysia dari Kaherah, Mesir ke Malaysia.
Bukti Malaysia komited terhadap misi kemanusiaan rakyat Palestin
Misi ini dilaksanakan atas pertimbangan kemanusiaan serta rasa kebersamaan Malaysia dengan menyediakan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin yang tercedera akibat konflik.
Langkah ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap bantuan kemanusiaan dan sokongan kepada rakyat Palestin.
Misi ini telah melibatkan seramai 75 pegawai dan anggota ATM serta agensi awam merangkumi krew penerbangan, anggota TUDM dan Aeromedical Team dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM (BPK).
Antara pihak yang banyak membantu adalah Pejabat Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kedutaan Mesir dan Kedutaan Palestin di Malaysia serta lain-lain jabatan kerajaan.
Turut hadir bersama ke Majlis Penerimaan Pesakit Rayat Palestin di Malaysia adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan mewakili Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Seri Isham bin Ishak, Panglima Tentera Udara; Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM serta wakil embassador Kedutaan Mesir dan Palestin, pegawai kanan ATM dan Kementerian Pertahanan.