Selalu ada jalan bagi orang kekal berusaha

Selalu ada jalan bagi orang kekal berusaha

“Anta (kamu) akan habis, tapi anta kena sabar.” Itulah ungkapan Almarhum Dr Bharuddin Che Pa, penyelia kedua PhD penulis yang sentiasa terngiang-ngiang dan menjadi penguat semangat untuk penulis meneruskan dan menghabiskan pengajian di peringkat doktor falsafah.

Kata-kata itu membuatkan penulis menitiskan air mata di hadapan panel sewaktu selesai sidang viva-vocetesis, tanda syukur dan puas kerana kesabaran menelusuri onak duri pengajian peringkat PhD sepanjang 10 tahun berakhir dengan kemanisan, persis sepertimana ungkapan di atas.

Benar, perjalanan dalam mengharungi samudera, membelah ombak, menerjang badai dalam menuntaskan pengajian tahap tertinggi ini perlu disertai kesabaran. Apatah lagi, penulis menyambung pengajian secara fast-track (tanpa melalui peringkat Master) dengan bidang baharu, sudah tentu memerlukan kesabaran yang tinggi untuk melalui proses demi proses.

Bukan sahaja sabar dalam menyempurnakan penulisan tesis dan menghadapi lima peringkat pembentangan, tetapi sabar dalam mengharungi proses menata satu persatu arah kehidupan.

Tidak dinafikan, musuh utama yang sering menjadi penghambat untuk terus fokus terhadap perjalanan menuntut ilmu ini ialah merasa lelah.

Sebenarnya, wajar saja seseorang penuntut ilmu itu merasa lelah. Mengambil ibrah kisah Nabi Musa ‘alaihissalam yang mencari Nabi Khidir ‘alaihissalam untuk menuntut ilmu. Al-Quran menggambarkan keluhan rasa lelah Nabi Musa, “Sesungguhnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan ini.” (Surah al-Kahfi ayat 62)

Di dalam ayat itu, Allah Ta’ala ingin menunjukkan dalam mencari apa pun, terutama yang berharga, pasti alami kelelahan. Ditambah pula ujian dialami Nabi Musa tatkala berguru dengan Nabi Khidir, semua itu mengajar erti kesabaran menghadapi persoalan dan cabaran hidup, khususnya dalam menuntut ilmu.

Selain kesabaran, pengajian di peringkat PhD suatu perjuangan yang menuntut keazaman tinggi dan tidak mudah berputus asa. Tidak hairanlah bukan sedikit terkandas di tengah jalan kerana beratnya bebanan dan cabaran yang membuatkan seseorang merasa tertekan lantas berputus asa.

Menandakan bahawa pengajian di peringkat PhD memang benar-benar mencabar. Itulah sebab ada sebahagian individu menggelarkan PhD sebagai singkatan dari permanent head damage.

Kerana mencabarnya, orang yang meneruskan pengajian di peringkat ini tidak hanya memerlukan kecerdasan sahaja, tetapi ada komponen lain sebagai penunjang iaitu ketahanan mental kuat, semangat juang tinggi dan usaha berterusan.

Ibarat lari maraton, siapa yang tahan dengan cabaran dan terus berusaha, maka dia yang akan mencapai garisan penamat. Ibarat mendaki gunung, indahnya pemandangan hanya akan dapat dilihat tatkala melalui pendakian yang penuh liku. Sepertimana pepatah Inggeris, the best view comes after the hardest climb.

Teringat penulis titipan kata semangat penyelia pertama, Prof Madya Dr Mohamad Zaidi Abdul Rahman, “Selalu ada jalan bagi orang yang berusaha dan tidak berputus asa.”

Inilah kata-kata semangat yang menjadi azimat buat penulis terus berjuang sehingga ke puncak kejayaan. Bak kata pepatah masyhur Arab, “Man jadda wajada” yang bermaksud siapa yang berusaha bersungguh-sungguh, maka dia akan dapat (kejayaan). Namun pepatah Arab ini perlu disandingkan dengan pepatah Arab lainnya, “Man sajada wajada” yang bermaksud siapa yang bersujud (memperbanyak solat), maka dia akan dapat (kejayaan).

Saat paling dekat di antara seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia bersujud. Oleh itu, penulis jadikan setiap sujud terakhir di dalam solat sebagai detik memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan dan tercapai apa dihajatkan.

Ditambah pula dengan bidikkan panah-panah doa dan sokongan insan tercinta membuatkan perjalanan dalam menuntut ilmu ini sangat bererti. Betapa pentingnya support system bagi memastikan semangat terus membara membawa obor harapan ke mercu kejayaan.

Ya, mungkin tempoh menghabiskan pengajian memakan waktu yang agak lama. Namun pengajian di peringkat PhD itu sendiri perjuangan. Adalah suatu kesalahan besar apabila dibandingkan perjalanan setiap orang yang berjuang dengan jalan ceritanya masing-masing. Kerana ini bukan cerita tentang siapa yang sampai ke garisan penamat terlebih dahulu, melainkan dia yang mahu berjuang sehingga akhir. Dan sudah tentu, semuanya terjadi dengan izin daripada Allah Ta’ala, Alhamdulillah.

Namun pengajian di peringkat PhD ini bukan penamat, begitu juga konvokesyen bukan pengakhiran untuk terus menuntut ilmu. Kerana pada hakikatnya ilmu itu perlu terus dicari dan digali sepertimana kalam ulama, “Carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.” Mutiara kata indah ini bukan hadis Nabi SAW, tetapi kita dapat mengambil hikmah supaya mengambil berat dalam menuntut ilmu sejak kecil dan selagi nyawa dikandung badan bersesuaian dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Akhir kalam, penulis ingin merakam jutaan penghargaan terutama kepada penyelia pertama, tidak dilupakan kepada Almarhum penyelia kedua (semoga Allah Ta’ala mencucuri rahmat ke atas rohnya), pihak Universiti Malaya dan Akademi Pengajian Islam. Seterusnya kepada mak abah, isteri dan anak-anak, ibu ayah mertua, nenek, adik beradik, saudara mara, pensyarah dan guru, rakan, pelajar sertas emua pihak yang mendoakan serta memberi sokongan. Semoga Allah Ta’ala membalasnya dengan kebaikan yang berganda.

Penulis lulusan Iijazah Kedoktoran di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top