'Sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat digunakan untuk dua minggu awal Ramadan'

'Sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat digunakan untuk dua minggu awal Ramadan'

am@hmetro.com.my

Tumpat: Sumbangan barangan dapur bernilai hampir RM250 yang diterima melegakan 100 penduduk di Kampung Kajang Sebidang, di sini.

Meskipun bukan nilai besar namun bagi mereka yang terjejas akibat banjir baru-baru ini dan ditambah dengan perbelanjaan sesi persekolahan anak masing-masing, sumbangan daripada Islamic Relief Malaysia itu mampu digunakan untuk sekurang-kurangnya dua minggu pertama Ramadan.

Bagi Salwani Zainudin, 34, kedatangan Ramadan yang dijangka pada minggu depan agak menggusarkan kerana bimbang tidak dapat menyediakan menu secukupnya untuk mereka lima beranak.

“Banyak ujian yang kami tempuh bermula dengan banjir yang melimpah hingga ke dalam rumah sehingga menenggelamkan satu-satunya kereta diikuti menanggung biaya persekolahan dua anak.

“Suami sebelum ini menjaja nasi berlauk namun kini terpaksa menjalankan kerja kampung kerana kereta yang sering digunakan mengalami kerosakan.

“Kedatangan Ramadan nanti tiada persiapan istimewa seperti orang lain malah menu yang bakal disediakan juga secara ala kadar asalkan mempunyai lauk walau sejenis,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Salwani yang sarat hamil lapan bulan berkata, keadaan semakin genting apabila tiada lagi persiapan dibuat untuk menyambut ‘orang baharu’ dalam keluarga sebaliknya menggunakan kelengkapan yang sedia ada.

Seorang lagi penerima, Nor Hayati Mat Saman, 43, meluahkan rasa syukur dengan sumbangan makanan itu kerana sedikit sebanyak dapat menjimatkan perbelanjaan.

Dia berkata, dengan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah, perbelanjaan yang perlu ditanggung sangat besar dan mereka baru saja berhabis untuk persediaan sekolah tiga anak.

“Sekurang-kurangnya bantuan makanan yang diterima ini mampu meringankan beban kami menjelang kedatangan Ramadan ini, walau tidak seberapa bagi orang lain tapi buat kami sangat memadai,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Program dari Islamic Relief Malaysia, Husna Azman berkata, pemilihan kampung itu sempena Program Rezeki Ramadan adalah memandangkan kawasan terbabit dilanda banjir selain majoritinya adalah kategori B40.

“Untuk program ini, empat lokasi dipilih dan selain di sini, agihan juga dibuat di Kampung Laut, Rantau Panjang serta Pasir Puteh dengan keseluruhan penerima adalah 300 orang.

“Bantuan yang diberikan antaranya adalah beras, minyak masak, tepung gandum, bihun, biskut serta gula dan nilainya hampir RM250 setiap orang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top