Sekolah pertama terima MBOR, pensijilan ISO Sirim

Sekolah pertama terima MBOR, pensijilan ISO Sirim

sudirman@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Medan menjadi sekolah pertama di negara ini yang memperoleh Pensijilan ISO 45001: Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan daripada Sirim dan pengiktirafan The Malaysia Books of Record (MBOR).

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Dr Rusmini Ku Ahmad berkata, pengiktirafan sempena SMK Taman Medan yang menjadi sekolah angkat kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), penganjur bersama Program Jerayawara Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Peringkat Kebangsaan.

Katanya, pembabitan agensi kerajaan dan swasta dalam pelaksanaan KKP di institusi pendidikan dapat dilihat melalui program ‘Adopt A School for OSH’ yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia pada 14 Julai tahun lalu di SK Paris, Kinabatangan, Sabah.

“Sekolah itu yang pertama dalam program ini dengan kerjasama IOI Plantation sebagai bapa angkat.

“Selain itu, program KKP di Kolej Vokasional Dungun, Terengganu mendapat sokongan pihak Petronas dan pelaksanaan KKP di SMK Kampung Datuk Seri Kamaruddin mendapat bantuan dan sokongan daripada pihak TNB Jana Manjung, Perak.

“Kedua-dua sekolah ini pernah memenangi Anugerah KKP Kebangsaan yang dianjurkan oleh Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) bagi 2021 dan 2022.

“Kali ini, SMK Taman Medan yang menjadi sekolah angkat kepada pihak MBPJ dan menerusi sokongan padunya telah menjadi sekolah pertama di Malaysia memperoleh Pensijilan ISO 45001: Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan daripada SIRIM dan MBOR,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, SMK Taman Medan turut menjadi pemenang Anugerah KKP Peringkat Kebangsaan tahun 2023 yang akan disampaikan dalam majlis penyampaian anugerah pada 29 Oktober ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan akan terus memastikan program KKP di seluruh institusi pendidikan dilaksanakan secara berterusan dan akhirnya menjadi budaya.

“Semua Ketua Jabatan sama ada di Bahagian, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah perlu mengambil inisiatif untuk memastikan semua kakitangan dapat bekerja dengan selamat, sihat dan terjaga kebajikannya mengikut standard dan mematuhi keperluan Akta KKP 1994.

“Bagi membantu semua warga KPM memahami mengenai KKP dan memantapkan pelaksanaannya, Buku Panduan KKP KPM disediakan dan akan disebarluaskan kepada semua warga kementerian menjelang hujung tahun ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top