Sekali kena gertak, hilang simpanan RM178,700

Sekali kena gertak, hilang simpanan RM178,700

am@hmetro.com.my

Nilai: Digertak akaun banknya terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram menyebabkan seorang wanita warga emas kerugian RM178,700 sekelip mata.

Difahamkan mangsa berusia 60-an itu dihubungi penjenayah menyamar sebagai pegawai polis dari Kontinjen Kuala Lumpur dan Johor pada Julai lalu memaklumkan kononnya akaun bank mangsa terbabit kegiatan itu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menceritakan kejadian dialami kepada suaminya.

“Pada jam 11.57 malam tadi, Kaunter Aduan Balai Polis Nilai menerima aduan dibuat mangsa berhubung penipuan itu.

“Mangsa menyatakan, dia dihubungi suspek yang mengaku daripada Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bharu pada 25 Julai lalu.

“Pegawai berkenaan memaklumkan bahawa akaun bank mangsa terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram,” katanya tadi.

Tambah beliau, mangsa kemudiannya diarah membuat pindahan wang ke dalam lima akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM178,700.

“Mangsa akur dengan arahan itu bagi mengelakkan dikenakan siasatan dan tindakan. Mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada suaminya,” katanya.

Jelasnya lagi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Nilai membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terbabit untuk siasatan lanjut.

“Pihak polis menasihatkan orang awam supaya membuat semakan melalui portal SEMAK MULE (https://semakmule.rmp.gov.my) sebelum membuat sebarang pemindahan wang bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd