Sedih jumpa mayat ibu dihempap pokok

Sedih jumpa mayat ibu dihempap pokok

am@hmetro.com.my

Chukai: “Saya mencari dan memanggil nama ibu berulang kali sehinggalah saya menemui jasad ibu dihempap dua batang pokok,” ujar Hairahtul Kamilah Abdul Faal, 16.

Dalam kejadian jam 6.15 petang semalam, mangsa, Saleha Ashaari, 49, maut selepas dihempap pokok tumbang berhampiran Pantai Penunjuk Kijal di sini.

Hairatul Kamilah berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama ibunya memulakan perniagaan menjual minuman dan sosej bakar di situ pada jam 3 petang.

“Pada mulanya, cuaca sangat panas dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berlaku hujan dan ribut kencang. Namun hujan lebat berlaku mendadak disusuli ribut.

“Akibatnya pokok berhampiran lokasi kami berniaga tumbang dan menghempap khemah. Ketika itu saya berjaya keluar dari bawah khemah dan berlindung ke dalam van milik saudara yang berniaga di sebelah khemah kami,” katanya tadi.

Menurutnya, dia bagaimanapun terkejut apabila mendapati ibunya tiada.

“Saya segera keluar mencari ibu sebelum menemui tubuh ibu dihempap dua batang pokok.

“Saya cuba mengangkat batang pokok itu untuk mengeluarkan ibu namun tidak berjaya. Jasad ibu hanya berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba yang dipanggil ke lokasi kejadian,” katanya yang cedera di telapak tangan.

Katanya, kejadian itu juga menyebabkan semua barangan perniagaan termasuk wang hasil jualan berterbangan akibat ribut.

“Saya tidak menyangka perubahan emak yang lebih banyak berdiam diri sejak beberapa hari lalu adalah petanda dia akan pergi menemui Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, terdapat 60 rumah di daerah Kemaman rosak akibat kejadian ribut yang melanda petang kelmarin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top