Sedekad TMUA lahirkan generasi hafiz al-Quran

Sedekad TMUA lahirkan generasi hafiz al-Quran

PUTRAJAYA – Mula diperkenalkan pada 2014, sekolah Tahfiz Model Ulul Albab di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sehingga kini berjaya melahirkan seramai 7,075 murid hafiz al-Quran.

Sekolah TMUA juga berkembang pantas daripada hanya tiga buah sekolah pada awal penubuhannya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMKA) Kuala Lumpur; SMKA Kedah dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong, Pahang kepada kini sebanyak 15 buah sekolah di seluruh negara.

Menjelaskan lebih lanjut, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, Omar Salleh berkata, sekolah TMUA tidak berbeza dengan aliran sekolah perdana kerana masih menggunakan kurikulum sekolah kebangsaan.

Bagaimanapun, ujar beliau, pelajar sekolah TMUA mendapat nilai tambah apabila pengajian mereka disepadukan dengan hafazan al-Quran yang disebut kurikulum bersepadu tahfiz (KBT).

Menerusi kurikulum itu, katanya, pelajar TMUA perlu menghafal al-Quran sepanjang lima tahun tempoh pengajian mereka yang bermula awal pagi sebelum meneruskan persekolahan arus perdana seperti biasa.

“Sepanjang tempoh lima tahun itu iaitu dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, pelajar-pelajar ini akan menghafal al-Quran berdasarkan had yang ditetapkan untuk dihabiskan setiap tahun.

“Sebaik tamat persekolahan di TMUA, mereka bukan sahaja akan mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti pelajar sekolah aliran biasa lain, malah turut mendapat sijil hafazan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Darul Quran sekiranya berjaya menghabiskan hafazan dalam tempoh lima tahun tersebut,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Sambutan Sedekad Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Putrajaya, di sini hari ini.

Dalam majlis yang dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek itu, turut diadakan adalah pelancaran penubuhan Alumni TMUA.
Selain itu, Fadhlina turut menyampaikan beberapa anugerah pada majlis itu antaranya Anugerah Sekolah Mithali kepada lapan buah sekolah yang berjaya mencapai 100 peratus khatam hafazan al-Quran bagi murid Tingkatan 5 sesi persekolahan 2023/2024.

Turut diberikan adalah Anugerah Murid Terbilang kepada tiga pelajar peringkat menengah rendah bagi menghargai pencapaian istimewa mereka yang telah berjaya khatam hafazan al-Quran hanya dalam beberapa bulan selepas memasuki TMUA.

Majlis Sambutan Sedekad TMUA itu berlangsung selama dua hari sejak semalam bertujuan mengiktiraf dan meraikan kejayaan murid, guru, dan sekolah yang terlibat dalam program TMUA.

Di samping itu, sambutan itu juga bagi meningkatkan kesedaran komuniti tentang sumbangan TMUA kepada pendidikan negara dan memperkukuh jaringan alumni untuk memperkasa pendidikan tahfiz.

Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan Alumni TMUA pula, Omar berkata, ia merupakan usaha untuk mengumpulkan pelajar-pelajar hafiz al-Quran terutamanya dalam kalangan lepasan TMUA yang melanjutkan penganjian di universiti.

Buat permulaan, ujar beliau, kumpulan pertama Alumni TMUA itu akan disertai seramai 10 bekas pelajar yang akan mewujudkan persatuan alumni di peringkat universiti masing-masing.

“Dengan adanya Alumni TMUA ini, maka seluruh bekas pelajar TMUA atau mereka yang hafaz al-Quran boleh menyertainya misalnya di universiti, sekali gus dapat meneruskan aktiviti hafazan al-Quran mereka bersama-sama rakan-rakan lain,” katanya.

Sementara itu, salah seorang Alumni TMUA, Firuz Dilamy Badrul Izham, 23, berkata, dia teruja menjadi antara yang terawal menyertai Alumni TMUA yang disifatkan usaha tepat dalam meneruskan kelangsungan generasi tahfiz negara.

Bekas pelajar SMKA Kuala Lumpur itu berkata, penubuhan Alumni TMUA tersebut bukan sahaja membolehkan mereka membantu pelajar TMUA dari segi hafazan, malah dapat berkongsi berkenaan pilihan masa depan mereka selepas tamat persekolahan.

“Sebab itu bagi saya penubuhan Alumni TMUA ini sangat penting bukan sahaja kepada kami dari segi untuk terus memantapkan lagi hafazan al-Quran, tetapi juga kepada pelajar TMUA untuk menentukan hala tuju mereka selepas ini,” katanya yang kini merupakan penuntut tahun kelima, Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Scroll to Top